BANGI – Kerajaan Negeri menyambut baik dengan akan menjadi lebih responsive terhadap keperluan libat urus dan suara generasi muda dalam pelaksanaan Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehubungan itu, sesi libat urus secara terus dengan para mahasiswa-mahasiswi akan diadakan untuk mendapatkan maklumblas, pandangan, cadangan idea baru yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam penyediaan bajet Kerajaan Negeri 2023 nanti.
“Ruang dan peluang yang selayaknya akan diwujudkan supaya penglibatan golongan muda dan sudah tentunya golongan yang tidak berparti ini untuk lebih memahami dan memberikan idea-idea mereka untuk kepentingan negeri dan negara secara umumnya.
“Kita sedar kelompok golongan muda dalam masyarakat kita adalah begitu ramai.” katanya dalam ucapan perasmian Iftar Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Peringkat Zon Tengah 1443H.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Ahmad Samsuri turut berpesan agar mahasiswa terus menggilap potensi dengan ilmu kemahiran yang lain seperti komunikasi, kepimpinan serta seni berorganisasi.
“Kalian (mahasiswa) merupakan pemimpin masa akan datang yang bakal menggantikan peimpin semasa justeru, bukan sahaja ibu bapa mengharapkan kecemerlangan anak mereka, bahkan seluruh rakyat negeri dan negara menantikan pelapis pimpinan selepas ini.
“Memimpin pastinya dengan ilmu bagi mencapai sebuah keharmonian, maka medan belajar adalah waktu terbaik untuk melengkapkan kepimpinan,” ujarnya.
Majlis iftar tersebut dianjurkan Yayasan Terengganu bagi meraikan 350 mahasiswa Terengganu yang berkelana di Lembah Klang melibatkan enam buah institusi pengajian awam; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM