Kerajaan Negeri Terengganu Sambut Baik Konsep Keluarga Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri Terengganu sambut baik Aspirasi Keluarga Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selari dengan pendekatan Kerajaan Negeri, yang membawa pendekatan Politik Matang dan Sejahtera serta Politik Kasih Sayang.

Menteri Besar, Dato’Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendekatan yang dibawa Keluarga Malaysia yang diasaskan kasih sayang mengendurkan apa yang tegang, mendekatkan yang jauh, mengharmonikan yang kusut dan menjernihkan yang keruh bertepatan dengan perpaduan di negeri Terengganu.

“Kami di negeri Terengganu amat menyambut baik konsep ini kerana penekanan terhadap penyatuan dan perpaduan, adalah amat jelas dalam konsep Keluarga Malaysia.

“Melalui konsep keluarga ini, kita percaya tiada yang terpinggir, tiada yang tertinggal dan tiada yang tersisih, dalam proses kebangkitan dan pembangunan negara selepas daripada ini.”

“Apa jua perbezaan yang ada antara kita, samada perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik, janganlah sampai digadai nikmat penyatuan dan perpaduan yang ada,” katanya.

Beliau berucap demikian sempena perasmian penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, JAKM dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

Tambahnya lagi, pendekatan JAKM ke negeri-negeri, akan memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua, mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Segala masalah mahupun perselisihan, perlulah diselesaikan secara sebuah keluarga, iaitu Keluarga Malaysia.” katanya.

Jelajah AKM Terengganu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu dan merupakan lokasi keempat selepas Johor, Perlis dan Sabah.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM