Kerajaan Pahang Akan Minimakan Penceronohan Tanah Haram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang akan meminimakan pencerobohan tanah haram di negeri ini melalui pemantauan dan tindakan secara berterusan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penguatkuasaan ini sedang dijalankan oleh Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

“Kita memang dah kuatkuasa tanah-tanah haram, apa semua, dulu-dulu lagi, dan memang kita sentiasa memantau tanah-tanah haram ini. Sebab itu kita tubuhkan skuad elit (Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang) untuk membantu Kerajaan Negeri.

“Kita tak ada keluarkan arahan, kerana tanah state matter, jadi kita akan sentiasa memastikan supaya pencerobohan tanah haram ini dapat diminimakan, kalau boleh zero,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Foodlawn.Kome @ Tanjung Lumpur di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sangat memandang serius perkara ini dan akan tindakan serta merta akan diambil sekiranya berlaku pencerobohan.

“Memang kita pandang serius pencerobohan tanah haram. Buat masa ini saya dimaklumkan perkara ini masih lagi berlaku. Tetapi dalam keadaan yang agak terkawal, tidaklah berleluasa.

“Tetapi kalau tidak dikawal ia mungkin akan berleluasa seperti dahulu. Pasukan ini sekarang sedang bergerak, untuk sentiasa memantau, memerhati, dan kalau berlaku pencerobohan haram, tindakan serta merta akan diambil,” katanya.

Tambah beliau lagi, proses pemulihan di kawasan Tasik Chini juga berada di landasan yang betul dan mengikut jadual buat masa ini.

“Di Tasik Chini, semua in progress dan semuanya mengikut jadual. Dan saya akan lawat lagi dalam bulan Januari atau Februari.

“Dan dua operator di Tasik Chini juga telah diberhentikan operasi serta merta, di mana operasi mereka sepatutnya tamat pada hujung tahun ini tetapi telah ditamatkan lebih awal,” katanya.

Semalam, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) bersetuju supaya semua Kerajaan Negeri melaksanakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap pencerobohan haram selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

Sumber: PAHANGMEDIA