Kerajaan Pahang Beri Bantuan Tepat Kepada Rakyat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Kesediaan Kerajaan Pahang dalam menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat yang memerlukan memberi kesan mendalam terhadap kehidupan mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, segala usaha yang dilakukan turut memudahkan para wakil rakyat membantu masyarakat terutamanya di kawasan masing-masing.

“Saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri Pahang memainkan peranan yang begitu aktif dalam membantu rakyat terutama sekali penyediaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) ini yang mana rumah-rumah ini kita berikan kepada mereka yang betul-betul layak menerima.

“Mereka ini dikirakan dalam keadaan kehidupan yang kurang stabil, tak mampu memiliki rumah sendiri dan pada masa yang sama mereka ini juga dalam keadaan terdesak untuk memiliki rumah sendiri kerana mereka telah berkeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) serta bantuan peralatan rumah kepada penerima RRP bernilai RM2000 sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada penerima, Encik Muhd Faez Muhd Maulana, 36, di Kampung Sekukuh, di sini.

Turut hadir Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Puan Nursafariza Ihsan serta Penolong Pegawai Pertanian, Muhammad Hasnor Hasan.

Dalam pada itu beliau berkata, kemampuan Kerajaan Negeri dalam menyediakan bantuan berkaitan adalah di atas faktor kedudukan kewangan dan politik semasa negeri yang stabil.

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri Pahang begitu prihatin kepada permasalahan rakyat di negeri ini dan kita juga bersyukur di atas peranan terbaik YAB Menteri Besar Pahang di dalam menjuruskan kepada matlamat mengurangkan kadar kemiskinan khususnya di negeri Pahang melalui penyediaan perumahan yang selesa.

“Ramai lagi rakyat yang memerlukan rumah, sebab itu Kerajaan Negeri terus menggembeleng usaha cari peruntukan untuk sediakan lebih banyak rumah bukan hanya untuk daerah Pekan sahaja tapi seluruh Negeri Pahang,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA