Kerajaan Pahang Berjaya Capai Sasaran Kutipan Hasil RM1 Bilion

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion meski pun masih berada pada suku tahun ketiga tahun 2022 di mana kutipan terkini adalah berjumlah RM1.008 bilion.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian ini merupakan satu sejarah besar kepada Kerajaan Negeri Pahang di mana kerajaan telah berjaya memperoleh kutipan hasil berjumlah RM1.008 bilion.

“Sejarah besar bagi Kerajaan Negeri Pahang kerana kita telah mendapat RM1.008 bilion yang kita tidak pernah dapat sebelum ini.

“Jadi, apabila kedudukan kewangan agak baik, insyaa Allah kita akan bagi juga kepada Pahang Skills untuk mereka menguruskan apa yang patut demi pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-11 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills di Kuantan, semalam.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, YH. Dato’ Haji Mas’ut Awang Samah.

Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan hasil yang memberangsangkan ini membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang akan diumumkannya pada pembentangan Belanjawan Pahang 2023 pada 7 Oktober ini.

Sumber : PAHANG MEDIA