PEKAN- Kerajaan Pahang bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus meningkatkan usaha pendaftaran vaksinasi COVID-19 di kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini bagi memastikan masyarakat Orang Asli di negeri ini mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Jelasnya lagi, beliau juga mendapati masih ramai di kalangan masyarakat Orang Asli masih tidak tahu cara menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Perkara ini sedikit sebanyak menjadi punca kelewatan pendaftaran vaksinasi di kalangan Orang Asli.
Maka usaha Kerajaan Pahang bersama JAKOA memasuki perkampungan Orang Asli dan mendaftarkan mereka adalah tindakan yang tepat dan harus dipergiatkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Program Pendaftaran Vaksinasi Orang Asli dan Penyampaian Bakul Makanan JAKOA di Kampung Meranti dan Kampung Sena.
Beliau juga berharap masyarakat Orang Asli tidak mudah percaya desas desus terutamanya dari pihak luar yang menakut-nakutkan masyarakat itu untuk mengambil vaksin COVID-19.
“Ingatlah, sampai bila kita harus berada dalam PKP, sampai bila kita tidak boleh keluar rumah.
Hanya apabila kita semua telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, imunisasi badan akan menjadi lebih kuat untuk melawan virus.
“Dengan suntikan vaksin juga kita mampu mewujudkan imuniti kelompok (Herd Immunity) dimana penularan jangkitan penyakit ini tidak mampu berlaku kerana sebahagian besar masyarakat telah mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan COVID-19 ini,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA