Kerajaan Pahang Kenalpasti Lagi Tiga Peratus Kawasan Hutan Bagi Dijadikan Hutan Simpan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG : Kerajaan Pahang sedang mengenalpasti kira-kira tiga peratus kawasan hutan di negeri ini bagi mencapai sasaran sebanyak 60 peratus kawasan hutan merupakan hutan simpan di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang akan mewartakan kawasan hutan yang masih belum diwartakan lagi bagi tujuan ini.

“Untuk kawasan tambahan (hutan simpan) kita akan cari. Pengarah Hutan sedang kenalpasti ada hutan-hutan simpan yang masih belum diwartakan, kita akan wartakan.

“Kita memang ada kawasan (hutan yang belum diwartakan) tapi masih diperingkat perbincangan lagi,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Kursus Effective Corporate Governance & Business Ethics oleh Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Pahang di sini.

Taman Negeri Endau

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Beliau berkata, tambahan keluasan kawasan hutan simpan ini disebabkan Kerajaan Pahang tidak boleh kekal statik dengan jumlah yang ada sekarang.

“Sekarang ini kita dah ada 57.07 peratus (kawasan hutan simpan), walaupun ini adalah lebih daripada keperluan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi kita tengok ada lagi kawasan-kawasan yang berpotensi untuk kita jadikan hutan simpan.

“Dan ada (kawasan baharu) sebab itulah saya begitu yakin dan optimis angka 57.07 peratus ini akan dapat ditingkatkan lagi. Kalau tidak dapat 60 pun, boleh dapat 58 peratus, 59 peratus pun dah satu kejayaan sebab kita dah lebih dari yang disasarkan,” katanya. –

Sumber: PAHANGMEDIA