Kerajaan Pahang Komited Bantu Gelandangan Berubah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang komited dan menyediakan pelbagai bantuan dan platform kepada golongan rentan dan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan supaya mereka dapat memanfaatkan medium yang disediakan ke arah kebaikan sekali gus dapat mengubah corak kehidupan mereka.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri turut mendapat kerjasama bersepadu daripada beberapa agensi dan anak syarikatnya termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara aktif dalam membantu perlaksanaan program intervensi sosial ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika selepas melakukan lawatan kerja ke Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, petang tadi.

“Jadi hari ini saya meninjau sendiri, saya nampak usaha-usaha bersepadu penglibatan daripada MUIP, Majlis Bandaraya Kuantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Setiausaha Kerajaan, NGO, Yayasan Pahang, saya nampak telah menunjukkan keberhasilan yang sangat baik.

“Ini adalah satu perkara yang saya teruja sebab bukan senang kerana saya mendapat maklum balas ada yang mengatakan ini telah berulang-ulang daripada dulu lagi, telah menjadi tradisi, tidak boleh berubah, tetapi saya telah melemparkan satu cabaran kepada Exco Kebajikan supaya beliau melihat perkara ini secara bersungguh-sungguh dan menyelesaikannya, InsyaaAllah saya akan bantu dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk PDRM dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, petang tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamduddin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi, Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin, Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah JKM, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti gelandangan dan rentan yang melibatkan seramai lima peserta terdiri daripada gelandangan di Jalan Wong Ah Jang.

Pada program tersebut, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkesempatan mendengar taklimat ringkas berhubung Pusat Intervensi Sosial jangka panjang dan jangka pendek sebelum melawat ke Surau Al-Hidayah dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak Casuarina yang juga terletak di Jalan Wong Ah Jang.

Kemudian beliau turut melawat ke tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti gelandangan dan rentan yang melibatkan seramai lima peserta terdiri daripada gelandangan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar, Kuantan.

Sebanyak 2,000 polibeg cili bara telah mula ditanam secara fertigasi dan dijangka memperoleh hasil pada penghujung November dan awal Disember depan dengan anggaran 600 kilogram cili bara dapat dihasilkan setiap yang membolehkan peserta memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Justeru, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan usaha dan komitmen membantu golongan gelandangan dan rentan ini dalam usaha memutihkan lokasi Jalan Wong Ah Jang daripada sebarang kegiatan tidak sihat sekali gus melahirkan golongan yang berkemahiran dan dapat berdikari.

Sumber: PAHANGMEDIA