KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan cadangan inisiatif Sempadan Hijau Negeri membabitkan sempadan Pahang dengan negeri berjiran iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lalu, sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wang Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan mewartakan tanah kerajaan yang sudah dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang kira-kira 26.806 kilometer (km) dan berkeluasan 557.585 hektar sebagai hutan simpan kekal menurut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.
Katanya, menerusi pewartaan itu, Kerajaan Negeri akan menolak ringkas semua permohonan tanah kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992.
“Sebagai makluman, pewartaan hutan simpan kekal terbaharu ini adalah tambahan kepada sedia ada yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Bagi tanah milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menetapkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri menyelaraskan syarat khas dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan perkara yang diputuskan.
“Dengan satu lagi keputusan ‘mesra-alam’ oleh kerajaan negeri ini diharapkan kawasan sempadan Pahang dengan enam negeri akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA