KUANTAN – Kerajaan Pahang menasihatkan pekebun durian Musang King di daerah Raub menimbang kembali permohonan semakan kehakiman semula.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di media sosial beliau berkata nasihat ini diberikan memandangkan Kerajaan Perpaduan kini terdiri daripada komponen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Saya selaku Menteri Besar Pahang yang juga Menteri Besar bagi Kerajaan Perpaduan yang melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menasihatkan pekebun-pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan supaya menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau tidak tindakan permohonan semakan kehakiman tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa tanah yang dipertikaikan tersebut secara jelas merupakan tanah Kerajaan Negeri.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya merupakan tanah Kerajaan Negeri, yang mana menurut Sistem Torrens (diguna pakai di dalam sistem pentadbiran tanah Malaysia), merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) walaupun dalam konteks equity,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, beliau turut berharap supaya pekebun terlibat dapat bertindak secara matang untuk kebaikan bersama.
Sumber – PAHANGMEDIA