KERAJAAN PAHANG PERHEBAT OPERASI AKTA 446

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan Pahang akan memperhebatkan Operasi Akta 446 melibatkan penyediaan penginapan kepada pekerja sama ada pekerja warga asing atau tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badanbadan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Johari Haji Hussain berkata, pihaknya bersama beberapa agensi akan melaksanakan operasi secara tersusun dan bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan pihak majikan mematuhi Akta 446 ini.

Agensi yang terlibat adalah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, PERKESO, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Operasi Akta 446 ini dilaksanakan bukan untuk menghukum majikan tetapi ia adalah usaha bagi memastikan pekerja dapat menikmati kemudahan penginapan yang selesa terutama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang turut melibatkan kluster di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Perakuan Penginapan di Bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja1990 (Akta 446) yang diadakan di Blok RSC9, Genting Highlands Resort.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang, Encik Pezman Che Husin, Pengarah PERKESO Pahang, Tuan Haji Tarmizi Mukhtar dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Puan Wan Sarimah Awang dan Timbalan Presiden Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Genting Malaysia Berhad, Dato’ Sri Kay Atisha Parasuraman.

Sementara itu, Pengarah JTK Pahang, Encik Pezman berkata, jabatannya mempunyai kekuatan di setiap daerah di negeri ini yang akan memperhebatkan operasi Akta 446 ini di daerah masing-masing.

“Jadi, saya berharap para majikan dapat membuat permohonan perakuan penginapan dengan kadar segera bagi mengelak daripada dikenakan tindakan perundangan,” katanya.

Encik Pezman berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 360 permohonan perakuan penginapan dan 52 daripadanya telah dikeluarkan pada 2021 yang melibatkan 2,101 unit penginapan.

Mana-mana majikan yang didapati gagal memohon perakuan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 di bawah Seksyen 24D (3) dan mana-mana penyedia penginapan berpusat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24D (4), (Akta 446).

Sejak operasi Akta 446 dikuatkuasakan pada Oktober 2020, sebanyak 34 kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan pendakwaan. Dalam pada itu, Encik Pezman turut mengulas tentang tindakan JTK terhadap 90 peratus majikan yang gagal mematuhi Akta 446, katanya, pihaknya telah mengeluarkan notis bertujuan memberi ingatan sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Tahap kesedaran majikan terhadap Akta 446 ini rendah memandangkan operasinya masih baru dan kami akan berusaha memperhebat operasi ini supaya semua majikan peka dengan setiap arahan kerajaan,” katanya.

Sepanjang tempoh Ops Perakuan Penginapan Akta 446 dilaksanakan di Pahang bermula 1 Februari 2021 sehingga 23 Mac 2021, sebanyak 853 premis majikan telah diperiksa dan hanya 10 peratus (89 majikan) sahaja yang mematuhi peruntukan Akta 446 dan peraturan di bawah akta.

Manakala, sebanyak 623 majikan lagi gagal mematuhi Akta 446 dan telah diberikan notis pematuhan dan perlu mengambil tindakan segera agar tidak didakwa.

Sumber: PAHANG MEDIA