TEMERLOH : Lebih setengah juta ringgit telah disalurkan Kerajaan Pahang melalui Tourism Malaysia bagi membantu mereka yang terlibat dalam industri pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan awal tahun lalu, pihak Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada 522 orang pemandu pelancong dan pemandu bot pelancongan pada April 2020.
“Bantuan kewangan secara one-off juga turut diberikan pada Februari tahun ini kepada 450 orang dari golongan yang sama.
“Pahang telah masuk ke Fasa 2 kini, jadi kita berharap agar industri pelancongan juga dapat dibuka secara berperingkat dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan terkini, Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM80,000 kepada empat persatuan pelancongan (NGO) yang turut terkesan sepanjang penularan pandemik.
Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Hotel Malaysia Pahang (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang (MYBHA) dan Persatuan EjenEjen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Pahang (MATTA).
Turut menerima bantuan ialah Persatuan Homestay Negeri Pahang yang sebelum ini aktif mempromosikan pelancongan inap desa serta produk-produk tempatan.
Setiap persatuan menerima RM20,000 yang mana akan digunakan dengan sebaikbaiknya bagi membantu semua ahli yang merupakan pengusaha-pengusaha hotel, agensi pelancongan dan pemilik homestay.
Bantuan berkenaan telah diserahkan YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar kepada setiap wakil NGO diiringi Pemangku Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Sumber: PAHANGMEDIA