Kerajaan Pahang Sampai Geran Penyelidikan Dan Pendidikan Perhutanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyampaikan Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin sebanyak RM50,000 kepada lima penyelidik hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan geran penyelidikan tersebut di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) bagi menampung keperluan tersebut.

Lima penyelidik yang menerima geran penyelidikan hari ini ialah Dr. Razak Terhem dari Universiti Putra Malaysia (UPM); Dr. Zarul Hazrin Hashim dari Universiti Sains Malaysia (USM); Dr. Nazirah Mohamad Abdullah dari Universiti Tun Husseion Onn Malaysia (UTHM); Dr. Shamsul Khamis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Dr. Mohd Norfaizal Ghazalli dari Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Pengarah JPNP, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, geran yang julung kali diwujudkan ini telah dilancarkan permohonannya bermula 26 Julai sehingga 25 Ogos lepas.

Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyampaikan Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin sebanyak RM50,000 kepada lima penyelidik hari ini.

“Sukahati dimaklumkan bahawa Kerajaan Pahang telah meluluskan lima permohonan geran penyelidikan Taman Negeri Rompin yang dikemukakan oleh para penyelidik daripada pelbagai institusi penyelidikan.

“Setiap penyelidik akan menerima geran penyelidikan bernilai RM10,000 untuk melaksanakan kajian di Taman Negeri Rompin pada tahun 2022.

“Permohonan geran ini telah dibuka kepada semua penyelidik daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT), dan agensi penyelidikan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata antara tujuan geran penyelidikan ini antaranya adalah untuk menggalakkan pelaksanaan penyelidikan dan kajian perhutanan melalui pengumpulan maklumat baharu berkaitan biodiversiti di kawasan berkenaan.

“Selain itu, geran ini juga untuk memperkaya dan mengamaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai sepenuhnya di Taman Negeri Rompin.

“Ia juga bagi memperkasakan bidang-bidang penyelidikan dan kajian perhutanan yang memberi impak ke atas cara pengurusan dan pemeliharaan biodiversiti.

“Geran ini juga dapat meningkatkan penerbitan saintifik berkaitan penyelidikan dan kajian perhutanan, serta menggalakkan jaringan kerjasama penyelidikan dari IPT, agensi penyelidikan Kerajaan dan pertubuhan berdaftar,” katanya.

Menurut beliau, kluster kajian yang ditetapkan adalah melibatkan inventori flora dan fauna yang merangkumi pendokumentasian sumber biodiversiti endemik dan terancam, kajian persekitaran fizikal yang termasuk bidang ekologi, geologi, kualiti air, perubahan iklim serta bidang ekopelancongan yang mencakupi penilaian sumber rekreasi.

Beliau berkata Kerajaan Pahang berharap geran penyelidikan ini dapat melaksanakan kajian dengan jayanya dan akan dapat menaikkan nama Taman Negeri Rompin sebagai hub penyelidikan unggul bagi negeri ini.

Sumber: PAHANGMEDIA