Kerajaan Pahang Sasar RM1 Bilion Hasil Negeri Menjelang Tahun 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CAMERON HIGHLANDS : Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1 bilion menjelang tahun 2023 selepas mengharungi cabaran pandemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan hasil pendapatan seperti itu sudah tentu lebih banyak pembangunan dan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang kepada penduduk di Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

“Itu kita punya sasaran, InsyaAllah kita kena fikir, kena cari kaedah sebabnya bukan mudah, kita tidak mahu menaikkan (kutipan) hasil ini dengan sembarangan kerana kita tidak mahu rakyat yang terkesan untuk mendapatkan (sasaran) hasil yang tinggi ini.

“Jadi kita kena buat dengan cara yang berhemah tetapi kita lebih fokus kepada ketirisan, kebocoran untuk kita menguruskan (hasil) dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada penduduk-penduduk daerah Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata hari ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada penduduk di Cameron Highlands di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor serta barisan exco lain.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, walaupun berdepan dengan cabaran COVID-19, namun Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sehingga RM800 juta.

“Sekarang ini kita sudah dapat RM800 juta dari tahun 2019 dan 2020, tapi tahun ini kita tahu mungkin sedikit sebanyak menjejaskan kutipan hasil kita sebab kita banyak bagi moratorium kepada contohnya PBT, kedai-kedai kita tak kutip sewa sebab mereka tak boleh meniaga.

“Ini mungkin sedikit sebanyaklah (punca terjejas) tapi kita akan cuba pick up balik lah dengan baki dalam dua bulan lebih ni (sampai akhir 2021). Kita akan fokus lebih kepada kebocoran ketirisan contohnya kita mana-mana tanah haram kita cuba kuatkuasakan kita tak mahu aktiviti-aktiviti yang merugikan kerajaan negeri,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA