Kerajaan Pahang Sedia Sop Khas Di Pusat Pemindahan Bagi Hadapi Bencana Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan Pahang menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas di semua 600 pusat pemindahan di seluruh Pahang bagi menghadapi bencana banjir.

 Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama beberapa agensi terlibat seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan Bomba dan Penyelamatan Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 Beliau yang juga YB Setiausaha Kerajaan Pahang berkata, perlaksanaan SOP tersebut melibatkan pelbagai aspek bermula dari pengambilan mangsa banjir di rumah masing-masing, ketika berada di pusat pemindahan sehingga mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Sidang media Misi Penghantaran Bekalan ke semua Pangkalan Hadapan bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak. FOTO : UKOMP


 
“Kita perlu pastikan penjagaan kebersihan dititikberatkan dan penjarakan fizikal di antara keluarga bagi memastikan tidak ada perkumpulan di dalam jumlah yang ramai serta pematuhan SOP ini adalah terpakai di semua lokasi sama ada berisiko atau tidak berisiko jangkitan Covid-19.
 
“Berkemungkinan juga kita akan menggunakan khidmat penyediaan makanan dari luar kerana aktiviti gotong-royong terutamanya ketika memasak sudah tidak dibenarkan bagi mengelak perkumpulan beramai-ramai dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kos pengurusan di pusat pemindahan antara 30 hingga 40 peratus berbanding kos sebelum ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Flag-Off Misi Penghantaran Bekalan Makanan Bencana ke Pangkalan-pangkalan Hadapan Pahang Tahun 2020 di Depoh Pasaraya Darul Makmur (PDM), di Kuantan, pagi tadi.
  
Kesemua bekalan makanan tersebut berjumlah RM1 juta akan diagihkan ke semua 118 pangkalan hadapan secara berperingkat ke semua daerah bermula pada 28 Oktober lalu sehingga 16 November depan.
 
Bantuan makanan tersebut termasuklah 45 tan beras, 21 tan sardin, 11 tan biskut, 7 tan minyak masak, 6 tan gula, 6 tan kopi, 1 tan garam dan 1 tan teh uncang.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang kini sudah bersiap sedia menghadapi banjir dan mempunyai kewangan yang mencukupi menerusi Tabung Bencana Negeri bagi menghadapi bencana itu pada bila-bila masa.
 
Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata, pihaknya juga akan meneliti semula pengunjung yang ingin membantu mangsa bencana terutama dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 termasuklah Lembah Klang supaya dapat berkolaborasi daripada pelbagai pihak agar bantuan kebajikan dapat disampaikan kepada mangsa banjir.
 
“Kami sedang memikirkan bagaimana untuk memudahkan pihak penyumbang supaya mereka dapat menyampaikan bantuan dan dalam masa yang sama dapat mengawal risiko Covid-19 di kawasan pusat pemindahan banjir,” katanya.
 
Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berharap agar kesiapsiagaan menghadapi banjir ini akan dapat diharungi bersama-sama dengan agensi dan jabatan terlibat yang telah bersedia menggerakkan kekuatan masing-masing.
 
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan simulasi menyelamat dalam masa terdekat bagi memastikan semua anggota dan petugas telah bersedia menghadapi banjir. – PAHANGMEDIA