Kerajaan Pahang tidak jemu bantu rakyat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Kerajaan Pahang tidak pernah membiarkan rakyat yang memerlukan mengharungi kesulitan hidup dilalui sepanjang pandemik tanpa sebarang perhatian.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia dizahirkan melalui Bantuan Prihatin Pahang yang masih berjalan di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima Bantuan Prihatin Pahang (BBP) di di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

“Petang ini saya menyampaikan 261 Bantuan Prihatin Pahang kepada Pelajar cemerlang SPM 2020, pengusaha dan pekerja dewan makan dan kantin, sekolah, jubah dan kain pasang kepada imam, bilal dan siak serta Bantuan Khas Kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Negeri Pahang.

“Jadi ini adalah satu usaha kerajaan negeri bersama rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19, kita dapat lihat ramai yang terkesan dan ini adalah ilham YAB Menteri Besar Pahang sendiri untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas penyampaian secara drive thru di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Hadir sama Timbalan Kadi Daerah Pekan, Ustaz Mohd Anis Azmi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau JAIP, Tuan Haji Ahmad Nizam Abdul Manan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Ustaz Mohd Fadzli Mat Saman.

Kakitangan Pejabat Agama Islam Pekan menyusun sebahagian jubah-jubah yang akan disampaikan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Peruntukkan khas YAB Menteri Besar dan Bantuan Prihatin Pahang 2021 Daerah Pekan hari ini.

Dalam pada itu beliau berharap supaya usaha ini dapat meringankan beban kepada semua golongan yang di pilih sebagai penerima.

“Kerajaan Negeri sentiasa mahu pastikan rakyat berada dalam keadaan baik dan dapat menjalani hidup seperti biasa walaupun terpaksa ‘bergelut’ dengan cabaran pandemik.

“Saya juga berharap agar semua orang dapat menjaga keselamatan diri dalam keadaan angka kes yang meningkat saban hari selain berdoa agar kehidupan akan bertambah lebih baik dan dijauhi daripada penyakit ini,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA