KERAJAAN PAHANG TUBUH PUSAT LATIHAN NEGERI PAHANG

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang menubuhkan Pusat Latihan Negeri Pahang dan Program Diploma Pentadbiran Awam Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM265,030.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kedua-dua pusat dan program yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 30 Jun lepas ini dijalankan dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

“Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang sentiasa komited untuk mewujudkan Perkhidmatan Awam berprestasi tinggi, berintegriti dan cekap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh terutamanya yang terbesar, rakyat sekalian.
 
“Oleh itulah, usaha-usaha penambahbaikan secara berterusan sentiasa dilakukan termasuk mengukuhkan lagi integriti Perkhidmatan Awam, selain meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan penjawat awam negeri ini.

“KUIPSAS dipilih mengambil kira ia telah dinaik taraf sebagai universiti penuh yang mempunyai kemudahan mencukupi, selain mahu menjadikan KUIPSAS sebagai ‘Centre of Learning’ di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Perasmian Pusat Latihan Negeri Pahang dan Program Diploma Pentadbiran Awam Negeri Pahang secara atas talian hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim.

Beliau berkata setakat ini seramai 24 pegawai yang baharu dilantik telah menyertai program ini yang mana ia mesti disertai oleh semua pegawai lantikan baharu negeri.

“Program Diploma Pentadbiran Awam Negeri Pahang ini memberi tumpuan kepada pembangunan pengupayaan personel bagi melengkapkan penjawat awam negeri dengan sikap (attitude), kemahiran (skills) dan pengetahuan (knowledge) sewajarnya. Program ini menggabungkan modul komponen profesionalisme, modal insan dan pengajian agama.
 
“Tempoh pelaksanaan program ini dijangka kira-kira enam bulan dengan kaedah bermodul sebanyak 15 modul utama, dan penyertaan pertama peserta melibatkan pegawai lantikan baharu Negeri Pahang kira-kira 200 orang.
 
“Pembelajaran akan dilakukan secara atas talian pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dalam mod sambilan yang masih tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19,” katanya.

Menurut beliau lagi, antara matlamat penubuhan pusat dan program ini adalah untuk mendedahkan penjawat awam di negeri ini mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam dan tatacara pengurusan kewangan.

“Selain itu, ia bagi memupuk keperibadian, jati diri, nilai patriotisme dan budaya kerja cemerlang supaya lebih berdaya saing, bersahsiah, berketerampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam.
 
“Menyediakan latihan bersepadu dengan memberi pendedahan dan pengetahuan asas berkaitan Negeri Pahang daripada segi sistem pentadbiran Negeri, perundangan, warisan sejarah dan budaya, peranan institusi diRaja dan fungsi bidang kuasa Dewan Negeri,” katanya.
 
Tambah beliau lagi, ia juga bagi menyediakan komponen latihan dan kursus pengenalan Islam merangkumi ilmu akidah, ibadah dan akhlak dalam memastikan penjawat awam Negeri turut mempunyai ilmu asas fardhu ain yang menjadi nilai tambah kepada penjawat awam dalam asas agama.
 
“Pengenalan Jawi kepada penjawat awam Negeri dalam menyahut saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memartabatkan Jawi di negeri ini,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA