Kerajaan Perkemas Strategi Hidupkan Kembali Pelancongan Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Industri pelancongan dalam negeri ini sedang giat dihidupkan kembali menerusi beberapa strategi seperti pemvaksinan dan mengguna pakai teknologi digital.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau peranginan dan Tasik Kenyir mahu membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing dengan mengambil kira pelbagai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Ada pemilik premis yang maklumkan kepada saya mereka mahu pelancong yang datang untuk membuat ujian calitan terlebih dahulu sebagai langkah lebih berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak.

“Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan yang akan dilakukan penguat kuasa di setiap daerah agar pelancong patuh SOP termasuk bilangan individu dalam bot mestilah mengikut kuota dibenarkan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Sementara itu, Ariffin turut menceritakan usaha meningkatkan keyakinan orang ramai melalui inisiatif pemvaksinan agar datang bercuti ke Terengganu dan merancakkan kembali industri pelancongan domestik.

“Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri telah menerima suntikan dos lengkap dan SOP yang ketat oleh penguat kuasa jabatan dan agensi kerajaan agar aktiviti pelancongan tidak menjadi punca kepada kluster baharu COVID-19.

“Selain tumpuan program vaksinasi di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir, kita juga dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu bahawa semua pekerja di hotel yang berdaftar juga sudah ada tarikh janji temu untuk menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat,” tambahnya.

Selain itu, Ariffin turut berkongsi, strategi kerajaaan negeri yang sedang menguji satu aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kesihatan dikenali sebagai AI Batuk.

“Berdasarkan kajian, kes penularan COVID-19 di Terengganu berpunca daripada aktiviti rentas negeri, jadi kita mahu menggunakan teknologi AI Batuk ini di pintu sempadan negeri agar dapat mengesan tahap kesihatan seseorang individu itu lebih awal.

“Sekiranya positif, individu itu perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan.

“Ini antara usaha kerajaan negeri mengekang penularan virus dari luar Terengganu sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk melancong ke Terengganu,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri (Sementara), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri berada di fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bermula 10 Ogos lepas.

Sumber: TRDI News