Kerajaan Sasar Peningkatan Liputan Jalur Lebar 96.9 Peratus Penghujung 2022

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERA : Kerajaan menyasarkan peningkatan status liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk sebanyak 96.9 peratus pada penghujung tahun hadapan berbanding 94.1 peratus buat masa kini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBrs Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pencapaian ini dapat dicapai hasil beberapa projek yang sedang dijalankan di seluruh negara.

“Sasaran kami (SKMM) untuk penghujung tahun 2022, kita cuba untuk mendapatkan liputan sehingga 96.9 peratus kawasan berpenduduk.

“InsyaAllah kita akan menggerakkan dan dengan adanya projek-projek yang akan dimulakan, jadi di penghujung 2022 kita lebih dekat dengan sasaran 96.9 peratus,” katanya.

Statistik liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk di seluruh Negara

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Dialog Isu Perkhidmatan Komunikasi Bersama Pemimpin Masyarakat Dewan Negeri (DN) Guai di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Papan di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Guai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengurus Besar TM Negeri Pahang, YH. Dato’ Zulfikri Hashim; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmad.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan tahap kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35 Megabit per saat (Mbps) dalam tempoh yang sama di seluruh negara.

Tambah beliau lagi, beberapa masalah seperti bentuk muka bumi di sesuatu kawasan juga mempengaruhi tahap liputan.

“Pahang dan Kelantan ini dia punya bentuk muka bumi dia mencabar, jadi prasarana sedia ada itu, memang tak ada. Jadi kena bangunkan itu dulu, baru boleh sampai ke kawasan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, sehingga suku kedua 2021, status liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk di negeri ini bagi liputan 2G adalah sebanyak 94.22 peratus, 3G (92.57 peratus), dan 4G (90.25 peratus).

Sumber: PAHANGMEDIA