Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU- Kerajaan pusat akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) dengan mengambilkira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai. 

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif itu akan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh Malaysia 

Katanya, antara perincian yang akan diberi perhatian ialah penandaan paip di bawah air  supaya orang tahu tentang kewujudan paip utama.

“Ini juga termasuk kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak daripada bangunan dan paip utama untuk korek pasir.

“Oleh itu, saya berharap garis panduan itu akan dipatuhi sebab dalam sistem pengambilan pasir ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau operasi pembaikan paip pecah di Jeti Feri Kg Losong, bersebelahan Muzium Negeri, Losong dan lawatan ke Loji Bukit Berapit, di sini hari ini.

Justeru itu katanya, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan isu berkaitan aktiviti-aktiviti di kawasan sungai seperti perlombongan pasir diberi perhatian sepenuhnya.

“Semua pihak perlu mengguna pakai  Garis panduan tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 15 Oktober 2015,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas tentang proses pembaikan di dasar sungai, beliau berkata usaha giat dilaksanakan pihak Satu dan dijangka penggantian paip yang menelas kos RM2.5 juta akan dapat dilaksanakan dan dijangka siap pada 12 September. 

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan paip baharu yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Australia serta Itali.

Sumber: My Metro