Kerajaan Tangguh Isytihar Fasa Endemik – Hishammuddin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TAWAU: Kerajaan memutuskan menangguh sementara langkah mengisytiharkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ berikutan peningkatan penularan kes varian Omicron COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata berdasarkan perancangan asal pengumuman ‘Peralihan ke Endemik’ itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron, selain kesan daripada individu yang kembali daripada luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir baru-baru ini.

“Minggu pertama bulan ini, saya sebenarnya nak umumkan bahawa kita nak masuk kepada fasa transisi endemik.

“Tetapi kita nak tunggu sedikit masa lagi (satu atau dua minggu) kerana apabila kita umumkan fasa transisi endemik ada tujuh atau lapan perkara yang perlu kita maklumkan kepada orang ramai.

“Contohnya prosedur operasi standard (SOP) kita kurangkan kepada satu sahaja iaitu usaha untuk ‘Self Testing Trace” yang saya dah umumkan sebelum ini, semua itu kita kena didik (educate) orang ramai apabila ia dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Kukusan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan pada bila-bila bersedia membuat pengumuman atau mengisytiharkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ kerana setiap negeri masing-masing sudah memasuki fasa ke-4.

Sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas mengadakan lawatan kerja di Kem Kukusan Tawau hari ini. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas mengadakan lawatan kerja di Kem Kukusan Tawau hari ini. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Ketika ditanya sama ada kelewatan langkah kerajaan membuat pengisytiharan ke fasa endemik itu bakal memberi kesan kepada negara, beliau menjelaskan, situasi di banyak negara di dunia ketika ini juga cukup membimbangkan.

Mengambil contoh di Amerika Syarikat, katanya, pada dua minggu lalu sahaja sudah mencatatkan jumlah jangkitan wabak COVID-19 mencecah satu juta kes dalam tempoh sehari dan terkini dilaporkan mencecah sehingga 500,000 kes sehari.

Malah katanya, terbaru Australia yang sebelum ini berada dalam perintah kawalan pergerakan (lock down) turut merekodkan jumlah jangkitan 60,000 kes sehari.

“Walaupun varian Omicron ini mungkin dari segi kesan jangkitan adalah kurang berbanding varian lain, tetapi semestinya dengan penularan secara besar-besaran akan menjejaskan kesihatan rakyat, selain memberi tekanan kepada penggunaan katil-katil Unit Rawatan Rapi (, ICU) di hospital kita.

“Sebab itu kita nak buka sempadan, kita nak beri kelonggaran, saya dah kata kita tak akan tutup besar besaran lagi, tetapi dalam kita nak buka pun janganlah besar-besaran juga dan mestilah mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Tak popular tak apa, tetapi yang penting kesihatan dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian