Kerani Rugi RM113,875 Angkara Skim Pelaburan Untung 120 Saat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Seorang kerani wanita sebuah syarikat di Jerantut kerugian RM113,875 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 37 tahun itu tertarik pelaburan yang ditawarkan melalui aplikasi Instagram pada 4 Mei lalu.

Katanya, mangsa menyertai pelaburan itu selepas berkenalan dengan lelaki warga Taiwan di aplikasi itu yang mengaku menetap di Malaysia.

“Suspek berjanji akan datang ke Malaysia untuk bertemunya. Suspek turut menawarkan satu aplikasi kepada mangsa bagi menjana wang dalam dolar Amerika Syarikat dengan cara memasukkan modal RM1,000 dalam masa 120 saat dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus.

“Terpedaya dengan keuntungan lumayan, mangsa membuat 11 transaksi ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh dua minggu bermula 2 Jun lalu sehingga kerugian RM113,875.

“Siasatan mangsa menggunakan wang simpanan dan pinjaman ahli keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, orang ramai sepatutnya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Sekiranya ingin membuat pelaburan, semak atau dapatkan maklumat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan tidak wujud,” katanya.

Sumber: METRO