Kereta meletup: ‘Saya lihat asap, percikan api sebelum berlaku letupan’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: “Saya lihat ada asap yang keluar dari but kereta mangsa sebelum percikan api dan disusuli letupan yang kuat,” kata mangsa yang cedera dalam kejadian kereta meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini.

Mangsa yang juga seorang anggota polis, Azizul Hakim Noor Hisham, 25, berkata, melihat keadaan itu dia cuba mengundurkan keretanya tetapi tidak sempat sebelum letupan berlaku.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, ketika kejadian kereta Proton Saga BLM miliknya berada di belakang kereta mangsa dalam jarak 10 meter.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan cermin keretanya pecah dan keseluruhan kenderaannya musnah.

“Sejurus kejadian, saya terus melompat ke bahagian tempat duduk belakang dan keluar menerusi tingkap di bahagian kanan.

“Orang awam yang ada di lokasi kejadian datang membantu saya dan mangsa lain serta mereka membawa kami ke sebuah kedai yang terletak dalam jarak 30 meter.

“Akibat kejadian itu, dua jari di tangan kanan cedera termasuk satu daripadanya patah dan saya sudah menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Azizul Hakim dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kampung Kota di sini, ketika kejadian berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu walaupun jaraknya dengan letupan sangat dekat.

Menurutnya, ketika kejadian tiada kilat yang berlaku dan hanya hujan lebat sahaja.

Semalam dilaporkan, kejadian pada 5.38 petang itu menyebabkan Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian.

Sumber: My metro