London – Juara dunia Formula Satu, Mercedes boleh mendapatkan alat ganti untuk mengatasi masalah kereta mudah melantun tepat pada masanya menjelang Grand Prix Miami, minggu depan, kata Pengarah Kejuruteraan Litar, Andrew Shovlin, hari ini.
Mercedes bergelut dengan masalah kereta ‘mudah melompat’ sejak permulaan musim ini dengan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton ketinggalan 58 mata di belakang pemandu Ferrari, Charles Leclerc selepas empat perlumbaan.
Hamilton sekadar menduduki tempat ke-13 perlumbaan GP Emilia Romagna di Imola, Ahad lalu.
Menerusi saluran YouTube pasukannya, Shovlin berkata, masalah itu memberikan cabaran baharu kejuruteraan yang perlu difahami Mercedes dengan segera.
“Diharapkan dalam masa terdekat, mungkin GP Miami, kami boleh membawa alat ganti ke kereta dan memberi petunjuk sama ada kami mampu bergerak ke landasan sepatutnya,” katanya.
“Kami tidak menjangka akan mengatasi masalah ini sekelip mata, tetapi jika mendapat bayangan kami berada pada landasan tepat, kami akan memahami apa sebenarnya berlaku dan sedar untuk menuju ke arah sepatutnya.”
Masalah kereta mudah melantun itu menyebabkan pasukan itu menduduki tempat ketiga senarai pengeluar dan memaksa mereka menjadikan kereta lebih tinggi, tetapi menjejaskan prestasi aerodinamik.
Shovlin berkata, banyak kerja dilakukan di kilang untuk memahami masalah itu dan sama ada penyelesaian aerodinamik mampu mengatasinya.
Sumber: HARIAN METRO