Isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam bakal berakhir dengan perjanjian persefahaman yang bakal dimeterai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Vietnam Coast Guard.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som memaklumkan, dengan persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara itu, beliau percaya isu pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara dapat diselesaikan.
Jelasnya, draf persefahaman tersebut sedang disemak pada peringkat Peguam Negara sebelum langkah terakhir diputuskan.
“Apabila kedua-dua pihak bersetuju, kita akan ada kerjasama dua hala dari segi penguatkuasaan dan latihan.
“Hubungan ini memudahkan kita melaporkan secara terus pencerobohan bot-bot nelayan mereka ke perairan negara,” katanya.
Menurut Mohd Zubil, draf persefahaman itu dijangka akan dimeterai tahun ini.
Beliau yang ditemui dalam sidang media di pejabat APMM Terengganu hari ini menyatakan, perairan pantai timur khususnya sering menjadi sasaran nelayan Vietnam berikutan jarak yang lebih dekat dari negara mereka selain hasil laut yang lebih banyak dan bernilai.
“Sejak APMM ditubuhkan pada 2006 hingga kini, kita telah berjaya menahan dan melupuskan hampir 2,000 bot nelayan asing terdiri daripada pelbagai negara.
“Sepanjang Op Naga dan Op Kuda Laut yang dilancarkan pada April 2019 sehingga 2021 iaitu selama dua tahun, sebanyak 159 bot serta 1609 kru berjaya kita tangkap dengan nilai tangkapan sebanyak RM493.5 juta,” katanya.
Sumber: TRDI News