KUANTAN : Kerjasama semua pihak kunci keberhasilan dan kelancaran Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dengan proses sebelum dan semasa mesyuarat penggal berlangsung.
“Urusan Dewan Negeri melibatkan pelbagai agensi dan jabatan dan dengan adanya sinergi antara semua agensi serta jabatan inilah menghasilkan kesempurnaan urusan Dewan Negeri.
“Kerjasama erat setiap jabatan dan agensi menghasilkan apa yang sukar, dengan impaknya cukup lumayan.
“Setiap bahagian juga fokus dengan fungsi dan peranan masing-masing sehingga urusan Dewan Negeri dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Malam Penghargaan Kepada Petugas Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Kuantan, semalam.
Turut hadir Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Tambah beliau, walaupun urusan Dewan Negeri dilihat seperti urusan rutin sahaja tetapi ianya tidak semudah itu kerana urusan berkaitan adalah sesuatu yang kritikal.
“Memang kita lihat urusan Dewan Negeri ini seperti mudah, rutin sahaja, tetapi jangan kita ambil mudah kerana ianya tugas yang kritikal.
“Jika ada kekurangan semasa sidang Dewan Negeri berlangsung, ia akan memberikan imej yang tidak baik kepada Kerajaan Negeri dan kita semua,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa yakin akan pencapaian kutipan hasil sebanyak RM1 bilion pada tahun hadapan yang disifatkan sebagai menyeluruh melibatkan bayi sehingga warga emas.
Sumber: PAHANGMEDIA