Kes COVID-19 Kelantan Dijangka Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Kes COVID-19 di Kelantan dijangka meningkat meskipun negara beralih kepada fasa peralihan endemik 1 April ini susulan pengambilan dos penggalak yang masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata tidak mustahil apabila sudah memasuki fasa endemik selepas ini, kemasukan pesakit ke dalam wad serta jumlah kematian akibat COVID-19 akan meningkat disebabkan Kelantan menjadi negeri paling rendah dalam data suntikan dos penggalak.

Katanya, apabila berada dalam fasa endemik, rakyat bebas dan seolah-olah sudah tidak ada penjarakan dan boleh ke mana-mana sahaja. Dalam hal ini, rakyat akan mudah terdedah kepada COVID-19 secara lebih meluas dan berisiko mendapat jangkitan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, bagi mengelak penularan, rakyat seharusnya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan penjagaan kesihatan sebagaimana yang dilakukan sejak lebih dua tahun lalu. Ketika ini, pengambilan dos penggalak adalah penting, lebih-lebih lagi apabila beralih ke fasa peralihan endemik tidak lama lagi.”

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Zon Bersih Indah dan Ceria Jajahan Machang di Dataran Kenanga, di sini hari ini, Dr Izani berkata, kajian yang dilakukan pakar mendapati vaksin boleh mencegah daripada kesan jangkitan yang lebih teruk.

“Sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), wad sentiasa penuh dan kes kematian terlalu tinggi, fasiliti hospital juga tidak cukup hingga terpaksa membuka hospital medan. Selepas mendapatkan suntikan vaksin, jumlah pesakit masuk ke dalam wad semakin berkurangan dan sekiranya ada kes positif, pesakit hanya alami gejala ringan.”

“Ini membuktikan vaksin berkesan, apatah lagi kajian saintifik mendapati vaksin baik untuk kita semua. Walaupun semua jenis vaksin mempunyai kesan sampingan, kebanyakannya adalah kesan ringan,” tambah beliau lagi.

Sumber: BERITA HARIAN