Kes Denggi di Kelantan Catat Peningkatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kumulatif kes denggi di Kelantan hingga minggu epidemiologi (ME) kelapan tahun ini mencatatkan 280 kes berbanding 239 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 41 kes atau 583 peratus.

“Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan setakat ini dan antara faktor penyumbang berlakunya peningkatan kes denggi ini adalah kerana cuaca tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jururawat Patuh Syariah di Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Presiden Akademik KPTM Kota Bharu Mohd Sahidi Yaakob.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata sebanyak 97,784 premis diperiksa dengan 463 daripadanya telah dikenakan kompaun berjumlah RM231,500 kerana premis terbabit terdapat pembiakan Aedes.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata sebahagian besar hospital di Kelantan  sudah melaksanakan pengoperasian secara patuh syariah dengan bantuan pegawai agama termasuk melaksanakan program Hospital Mesra Ibadah (HMI).

“Kita sudah mengadakan kursus kepada kakitangan serta petugas terlibat. Dari segi penerapan pula ia masih lagi mempunyai kekangan tertentu terutamanya melibatkan kekurangan anggota dan petugas.

“Kita akan cuba laksanakannya sebaik mungkin namun perlu difahami bahawa anggota atau petugas berlainan jantina juga boleh merawat dalam keadaan darurat,” katanya.

– BERNAMA