Kes harian cecah mungkin 40,000, Indonesia minta bantuan negara luar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Indonesia sudah membuat persiapan untuk berdepan kemungkinan sehingga 40,000 kes baharu Covid-19 sehari. – Gambar Kompas

Ketika Indonesia mencatatkan rekod harian baharu jangkitan dan kematian disebabkan Covid-19 semalam, pemerintah republik itu sudah membuat persediaan bagi berdepan senario terburuk dan malapetaka susulan jangkaan bahawa virus Covid-19 boleh menjangkiti sehingga 40,000 rakyatnya sehari.

Menteri Penyelaras Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) Luhut Pandjaitan yang mengesahkan perkara itu turut memaklumkan antara persediaan dilakukan termasuk meminta bantuan negara luar, seperti China dan Singapura.

Memetik laporan Channel NewsAsia, Luhut berkata pemerintah juga membuat persediaan dari segi perubatan, bekalan oksigen dan kemampuan hospital bagi mengendalikan pesakit Covid-19.

Beliau berkata selain itu Angkatan Tentera Republik Indonesia (TNI) dan polis juga sudah diarah menyiapkan hospital mereka di Jakarta dan Surabaya.

“Jadi kami telah mengumpulkan semua kekuatan kami. Tidak ada yang harus meremehkannya, bahawa Indonesia tidak dapat menyelesaikan masalah, sejauh yang kita mampu.

“Semalam Indonesia mencatatkan peningkatan kes sebanyak 31,189 berbanding 29,000 kes dua hari lalu. Jumlah kes harian dijangka boleh mencecah sehingga 40,000 atau lebih.

“Oleh itu, pihak kami telah membuat persiapan untuk menghadapi situasi itu, dari segi perubatan, oksigen dan hospital. Kami turut meminta bantuan dari negara luar seperti China dan Singapura,” katanya.

Indonesia yang kini merekodkan 2.3 juta kes setakat pagi semalam, sedang berdepan gelombang kedua yang bakal menjadi ‘tsunami Covid-19’ sebagaimana berlaku di India, jika tidak ditangani segera, khususnya membabitkan penduduk negara itu.

Minggu lalu media melaporkan beberapa hospital di republik itu, terutama di ibu negara, Jakarta, kehabisan stok bekalan oksigen. Harga oksigen di pasaran tempatan juga melambung apabila penduduk mula membuat pembelian panik.

Sebuah hospital di Yogjakarta pula memaklumkan dalam tempoh dua hari 63 pesakit mereka meninggal dunia akibat kekurangan bekalan oksigen.

Luhut yang juga Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia mengakui terdapat isu kekurangan stok oksigen tetapi beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima tangki ISO baharu dari beberapa tempat di Indonesia seperti Morowali, Cilegon dan Batam.

“Kami juga telah memesan 10,000 stok oksigen dari Singapura dan sudah sampai dengan pesawat Hercules. Pihak kami juga akan memesan dari tempat lain jika stok masih berkurangan,” katanya sambil menjelaskan bekalan gas itu akan mencukupi walaupun kes baharu mencecah sehingga 50,000 sehari.

Mungkin paling teruk 60,000 atau 70,000 kes sehari. Tetapi pihak kami tidak mengharapkan itu akan terjadi, katanya.

Menurutnya sebuah hospital sementara bagi merawat pesakit Covid-19 akan mula beroperasi mulai Khamis ini, di Jakarta Timur.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia menguatkuasakan PPKM Darurat mulai 3 Julai lalu hingga 20 Julai depan dengan mengetatkan lagi protokol kesihatan di Pulau Jawa dan Bali, selain menyekat kemasukan pengembara asing. – Agensi.

Rujukan : Agenda Daily