SETIU – Kes penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) di Terengganu meningkat sebanyak 13 kali ganda tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata sebanyak 1,603 kes HFMD dilaporkan sehingga Isnin lalu, berbanding 105 kes pada tempoh yang sama.
Beliau berkata, sebanyak 22 premis membabitkan taska dan tadika mencatatkan lebih satu kes.
“Walaupun terdapat 22 premis merekodkan kes HFMD melebihi satu kes, tetapi tiada tabika dan taska ditutup.”
“Setakat ini, kita mengesahkan situasi penularan penyakit itu di negeri ini tidak membimbangkan dan masih terkawal walaupun berlaku peningkatan kes melebihi 13 kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Seminar Hand Hygiene peringkat negeri di Hospital Setiu (HS) hari ini.
Dr Kasemani berkata, ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah tidak perlu bimbang untuk menghantar anak ke taska dan tabika kerana langkah pencegahan bagi mengawal penularan HFMD, termasuk melakukan sanitasi sudah dilakukan.
“Pegawai dan kakitangan kesihatan semua daerah sudah melakukan proses sanitasi serta memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada tenaga pengajar supaya meningkatkan amalan kebersihan di semua taska dan tadika.
“Kita turut memberi tunjuk ajar kaedah pembersihan alat permainan serta kemudahan lain, termasuk meja dan kerusi disediakan di semua tadika dan taska,” jelasnya.
Sumber: BERITA HARIAN