Kes Rogol Di Kelantan Meningkat 8.1 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Kes rogol di Kelantan menyaksikan peningkatan 8.1 peratus dengan kebanyakan mangsa berusia 18 tahun ke bawah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia menunjukkan peningkatan kepada 93 kes sehingga November, berbanding tempoh sama tahun lalu 86 kes, dengan daerah Kota Bharu direkodkan paling tinggi diikuti Bachok.

Bagaimanapun katanya, jumlah berkenaan adalah yang dilaporkan kepada polis oleh ibu bapa serta pihak hospital dan pihak polis tidak menolak kemungkinan ada kes yang tidak dilaporkan.

“Kebanyakan mangsa yang dilaporkan berusia 18 tahun ke bawah. Ada kes dirogol oleh teman lelaki dan ada kes suka sama suka.

“Kebanyakan laporan dibuat apabila kejadian itu dikatakan sudah terbongkar dan sampai ke pengetahuan ibu bapa menyebabkan mereka tampil membuat laporan polis.

“Selain itu ada mangsa dibawa ke hospital dan pihak berkenaan membuat laporan polis,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Apresiasi Media bersama Polis Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, lebih 90 peratus suspek kes rogol yang dilaporkan itu berjaya dikenal pasti dan tangkapan sudah dibuat.

“Ada yang sudah didakwa di mahkamah. Justeru kita mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian seperti itu berlaku.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya menitik beratkan kes rogol ini dengan mengambil pelbagai pendekatan untuk menanganinya,” katanya.

Pada masa sama, Shafien berkata, indeks jenayah di Kelantan mencatatkan penurunan iaitu 1,652 kes berbanding 2,097 kes tahun lalu.

Sumber: My Metro