Malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan untuk sentiasa taat dan patuh kepadaNya. Ada ramai malaikat dan banyak tugas yang dilakukan oleh mereka, namun yang wajib diketahui hanya 10 tugas.
Antara tugas mereka yang sering kita dengar ialah menyampaikan wahyu, menurunkan rezeki, mencatat amalan baik dan buruk yang dilakukan manusia dan pelbagai lagi.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, aku melihat apa yang kalian tidak lihat. Aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya bersujud kepada Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 2312)
Ulama mentafsirkan hadis ini menyebut bahawa bilangan malaikat itu sangat ramai dan tidak mampu dikira dengan bilangan jari. Tetapi, menjadi kewajipan kita untuk beriman dengan kewujudan mereka.
Bahkan, seperti yang kita tahu, di kiri dan kanan manusia juga ada malaikat yang sentiasa mencatat amalan baik dan buruk yang dilakukan.
Terdapat tiga waktu malaikat sentiasa ada dengan manusia. Waktu-waktu ini ada diterangkan dalam dalil-dalil sahih iaitu:
1. Ketika Proses Penciptaan Manusia
Maksud: “Allah telah mengutus seorang malaikat untuk rahim, lalu ia berkata: “Ya Allah, ini segumpal darah! Ya Allah, ini segumpal daging!” Ketika Allah hendak menyelesaikan ciptaanNya, ia bertanya: “Ya Allah, ini lelaki atau perempuan? Apakah dia orang yang celaka atau bahagia? Bagaimana rezeki? Bagaimana ajalnya?” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 6595)
2. Yang Menjaga Manusia
Mafhum: “Bagi tiap-tiap seorang, ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.” (Surah Ar-Ra’d, 13:11)
3. Yang Mencatat Amal Manusia
Mafhum: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).” (Surah Al-Infitar, 8:10-11)
Sumber: TZKRH.COM