KAFEIN adalah sejenis bahan kimia perangsang yang terdapat dalam minuman seperti teh, kopi, air coklat atau air berkarbonat.
Dalam erti kata lain, ia merupakan sejenis dadah yang boleh mengakibatkan tahap kesihatan seseorang terjejas jika diambil secara berlebihan.
Disebabkan ramai yang sedar tentang kesan buruk kafien, ramai cuba berhenti daripada minum kopi namun ia datang dengan lima kesan sejurus selepas berbuat demikian.
Kebiasaannya, ini adalah lima tanda yang sering kali dialami penggemar kopi selepas berhenti minum minuman tersebut.
1. Sakit kepala
Bagi yang sudah terbiasa minum kopi di pagi hari mereka akan berasa sakit kepala jika tiba-tiba tidak dapat ‘pekena’ secawan apatah lagi dalam usaha untuk berhenti.
Perubahan ini akan menyebabkan seseorang akan sering berasa berdenyut-denyut di bahagian kepala sehingga hilang fokus.
2. Keletihan
Selain sakit kepala, berhenti minum kopi juga dapat membuatkan seseorang itu sering berasa letih dan kurang bertenaga.
Mereka menjadi lesu dan tidak bersemangat kerana sebelum ini rutin meminum kopi memberi tenaga yang berterusan.
Tetapi perlu diingati bahawa tahap kebergantuangan kepada kopi itu tidak seharusnya berlaku kerana tubuh mampu berfungsi untuk memberi seseorang tenaga.
3. Waktu tidur lebih teratur
Umum mengetahui bahawa minum kopi tidak kena pada waktunya mampu membuatkan seseorang itu sukar untuk tidur.
Gangguan tidur ini sering dialami penggemar kopi biarpun dengan sengaja untuk berjaga lewat malam atau ketagihan minum kopi membuatkan mereka sanggup berdepan masalah ini.
Oleh itu, biarpun anda akan berdepan rasa tidak bermaya jika berhenti minum kopi teruskan lakukan untuk kebaikan di masa hadapan agar dapat tidur dengan lebih nyeyak sekali gus mampu menjaga tahap kesihatan tubuh badan.
4. Kurang gelisah
Tidak dinafikan terlalu banyak kafein di dalam badan seseorang akan membuatkan mereka sering berasa gelisah dan tak tentu arah.
Jika anda tergolong di antara mereka, cara yang terbaik adalah berhenti minum kopi untuk menghilangkan rasa cemas ini setiap masa.
Apabila tubuh anda kembali normal tanpa kafein anda pasti akan rasa bebas dan tenang.
5. Gigi lebih sihat
Penggemar kopi sudah pasti tahu kesan yang paling ketara sekali minum kopi adalah pada gigi. Gigi akan cepat menguning dan mulut akan sentiasa bau kurang sedap.
Dengan mengambil keputusan untuk berhenti minum kopi secara berlebihan ini ternyata dapat membantu anda melindungi gigi dan dapat memberi senyuman yang menceriakan.
Sumber: mStar