SALAH satu kunci menjaga kesihatan agar tetap berada dalam tahap optimum adalah memastikan diri tidak berada dalam keadaan tertekan. Ini kerana individu yang sering tertekan dikatakan lebih terdedah kepada pelbagai penyakit lain.
American Psychological Association menjelaskan kajian berkaitan tekanan dan daya tubuh sudah mula dibuat menerusi bidang psikoneuroimunologi pada 1982.
Ahli psikologi, Dr Janice Kiecolt-Glaser dan Dr Ronald Glaser dari Fakulti Perubatan Universiti Ohio pernah menjalankan kajian bagi mencari kaitan tekanan dan penyakit ketika itu.
Daripada penelitian itu, mereka mendapati orang yang sedang mengalami tekanan menghasilkan sel kekebalan melawan jangkitan dengan respons yang lemah.
Maksudnya, sistem kekebalan tubuh mereka tidak sekuat orang yang tidak mengalami tekanan.
Pada 2004, Dr Suzanne Segerstrom dari Universiti Kentucky mula membuat kajian terhadap 300 responden berkaitan kaitan tekanan dan kesihatan.
Seseorang perlu mengawal tekanan agar tidak menjadi punca kepada penyakit lain.
Hasil kajian itu turut mendapati, tekanan yang berterusan serta dalam tempoh jangka panjang mampu merosakkan sistem pertahanan tubuh manusia.
Tidak hanya itu, kesan tekanan turut menyebabkan gaya hidup seseorang menjadi tidak sihat termasuk pemakanan, kurang bergerak, tekanan darah meningkat dan mengalami gangguan tidur.
Semua faktor ini dapat menyebabkan sistem imunisasi tubuh menjadi lemah dan sekali gus menyebabkan seseorang mudah jatuh sakit.
Dr Suzanne menjelaskan penyebab seseorang yang mengalami tekanan mudah sakit disebabkan pengaruh hormon kortisol.
Jelasnya, ketika stres, tubuh akan menghasilkan hormon itu dan apabila keadaan tekanan berpanjangan, kadar kortisol di dalam tubuh juga akan meningkat.
Dalam tempoh jangka pendek, hormon itu sebenarnya dapat membantu bahkan melindungi tubuh ketika diserang sesuatu penyakit namun paparan terhadap kortisol yang berlebihan boleh menjadi masalah kerana ia menekan respons sistem imunisasi manusia.
Selain itu, tekanan dapat menyebabkan keradangan dan keadaan ini sekiranya tidak dikawal boleh memicu masalah kesihatan kronik seperti penyakit jantung, autoimum dan obesiti.
Terdapat beberapa cara mengendalikan tekanan termasuk bersenam secara kerap. Selain itu pengambilan makanan berzat dapat membantu masalah itu daripada terus berpanjangan.
Paling penting, tidur yang berkualiti bukan sahaja dapat mengurangkan masalah tekanan tetapi menurunkan risiko pelbagai penyakit. Pastikan kita mendapat tidur sekurang-kurangnya tujuh ke lapan jam setiap hari.
Sumber: Mstar