KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) tampil pelbagai produk menarik wilayah KETENGAH di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.
Ketua Unit Komunikasi Korporat KETENGAH, Muziakma Ali berkata, antaranya produk menarik yang ditampilkan adalah produk pelancongan di wilayah KETENGAH disediakan untuk pengunjung yang hadir.
“Pengunjung juga boleh secara terus merasai air herba yang berada di Tasik Kenyir secara percuma terutamanya Kacip Fatimah, Mahkota Dewa dan Tongkat Ali,” katanya.
“KETENGAH menawarkan perkhidmatan yang disediakan oleh KETENGAH Holding seperti kursus-kursus yang ditawarkan di Kolej KETENGAH Sdn Bhd dan rumah-rumah yang disediakan untuk dijual oleh KETENGAH Sdn Bhd”, tambahnya lagi.
Selain itu, KETENGAH juga akan menampilkan tiga usahawan bimbingan iaitu KETENGAH ARF Agro Farm Sdn. Bhd., KVG Juta Sdn. Bhd. dan Fatisha Agro Farm(M) Sdn. Bhd. di Pavilion Terengganu yang bermula 4 hingga 14 Ogos ini.
Pengusaha ARF Agro Farm Sdn. Bhd, Che Mat Ariffa Che Reduan berkata, untuk pengunjung di reruainya akan ditawarkan semua produk berasaskan ayam kampung iaitu ayam kampung ‘frozen’, ayam kampung perap, sate ayam kampung, lemak dan rendang ayam kampung serta nasi putih dan ayam kampung berempah.
“Jangkaan yang kita terima di karnival, pengunjung yang hadir agak luar biasa dan di luar jangkaan kami dan menyebabkan banyak persediaan perlu dibuat untuk stok kami” katanya.
Tambahnya, beliau berharap untuk MAHA kali ini, lebih banyak pengeluar dan pembekal yang boleh berkolaborasi dengan syarikatnya untuk memajukan lagi industry ayam kampung serta mampu menghasilkan lebih banyak produk yang lain daripada yang lain.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM