KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini diarahkan memantau pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mengelak isu kesesakan berulang.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais, berkata KPD juga diarah membuat perancangan awal bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.
“KPD perlu memastikan PPV di daerah mereka dipantau bagi memastikan proses vaksinasi berkenaan terkawal,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bakul makanan Op Bantu di Kota Kinabalu, semalam.
Yusuh berkata, penambahan anggota di setiap PPV juga sudah dimaklumkan kepada semua KPD.DISYORKAN UNTUK ANDA
“Memang ada pertambahan anggota dan arahan dikeluarkan Pesuruhjaya Polis Sabah supaya KPD menentukan kawalan anggota yang mencukupi di kawasan PPV,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, PPV Taman Harmoni, Batu 3, Sandakan dan Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu, sesak selepas diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’.
Sementara itu, mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) terbaharu dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah pada Khamis, Yusuh berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhinya.
“Tidak banyak perubahan SOP yang terdahulu, cuma untuk ‘dine-in’ di restoran dan memasuki pasar raya untuk membeli barang dikehendaki lengkap dua dos. Jadi patuhilah arahan itu,” katanya.
Sumber: Berita Harian