Pertandingan ratu cantik merupakan sebuah pertandingan yang bertujuan untuk memperkasakan wanita dan juga memberi peluang kepada pesertanya untuk membawa nama negara ke tahap yang lebih tinggi.
Memecah tembok dunia ratu cantik, kini gadis berhijab dari Somalia, Khadija Omar menjadi peserta berhijab pertama yang mewakili sebuah negara dalam pertandingan ratu cantik berprestij iaitu Miss World. Tahun ini pertandingan tersebut diadakan di Puerto Rico dan malam finale akan dilangsungkan pada 16 Disember 2021.
“Saya tidak percaya saya adalah Miss World Somalia yang pertama. Sesiapa yang mengenali saya, tahu berapa lama saya berhasrat untuk bertanding dalam pertandingaan dan mewakili gadis berhijab di seluruh dunia.
“Saya harap ini memberi inspirasi kepada gadis-gadis muda berhijab dan mengingatkan mereka bahawa mereka boleh bermimpi setinggi yang mereka cita-citakan,” kata wanita anggun berusia 20 tahun ini.
Khadija merupakan seorang jurusolek dan sekarang merupakan pelajar dalam jurusan Psikologi di York University Kanada. Sebelum berpindah ke Kanada, Khadija pernah tinggal di Kem Pelarian Nairobi, Kenya. Walaupun sudah tinggal di negara asing, cintanya kepada Somalia tidak pernah padam.
Ia dapat dibuktikan menerusi projek ‘Beauty with a Purpose’ yang menjadi satu kewajipan bagi peserta Miss World kendalikan. Khadija akan bekerjasama dengan UNHCR dan Somali Youth Action dalam mewujudkan program pendidikan mata pencarian dan iklim terutamanya untuk wanita dan kanak-kanak.
Sebelum ini sudah ramai wanita berhijab yang memasuki pertandingan seperti Miss Universe dan Miss World di peringkat negara, namun mereka masih belum ada yang berjaya mewakili negara masing-masing ke peringkat antarabangsa.
Semoga Khadija berjaya mencipta sejarah dan membuktikan bahawa hijab bukanlah penghalang dan beban sebaliknya satu simbol kekuatan.
Sumber: HIJABISTA