Khemah Warga Pelarian Syria di Lubnan Terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Pelarian Syria sedang mencari barangan yang boleh diselamatkan. (Foto AFP)

Lebih daripada 300 pelarian Syria terpaksa melarikan diri dari kem penempatan mereka yang terletak di utara Lebanon setelah api meletus dan membakar khemah, kata pegawai PBB.

Kebakaran yang berlaku pada hari Sabtu telah mengakibatkan api marak selama empat jam sebelum anggota bomba datang dan berusaha memadamkannya.

Kebakaran itu berlaku disebabkan pertengkaran antara keluarga Lubnan di al-Miniyeh di utara negara itu dan warga Syria yang tinggal di kem itu, menurut laporan media Lubnan.

Seorang pegawai Lubnan mengatakan bahawa tentera sedang menyiasat punca kebakaran dan melakukan serbuan untuk mengumpulkan mereka yang bertanggungjawab atas pertengkaran tersebut.

Khaled Kabbara, jurucakap Organisasi Pelarian PBB di utara Lebanon mengatakan bahawa kira-kira 375 orang tinggal di penempatan tidak sah yang terletak di sebidang tanah yang disewa. Menurutnya seluruh kem itu terbakar sepenuhnya.

Kabbara memberitahu bahawa empat orang cedera dalam kebakaran dan dimasukkan ke hospital dengan cedera ringan. Ada penduduk yang datang kemudiannya untuk melihat apakah ada yang barang yang dapat diselamatkan dari kebakaran.

Sebilangan besar pelarian telah mencari perlindungan di kawasan penempatan yang lain. Sebilangan dari masyarakat setempat juga menawarkan tempat tinggal, kata Kabbara. Kabbara menyatakan pertengkaran antara penduduk dan pelarian Syria sering “membawa malapetaka kepada masyarakat secara keseluruhan.”

Ketegangan juga sering terjadi di antara warga Lebanon dan warga pelarian Syria, yang telah melarikan diri dari perang di negara mereka. Lubnan menjadi tuan rumah kepada lebih dari 1 juta pelarian, hampir seperempat dari populasi negara itu yang berjumlah 5 juta dan semakin membebani infrastruktur negara yang sudah runtuh.

Ketegangan antara Lubnan dan Syria juga terjadi sejak Syria menguasai jirannya yang lebih kecil selama hampir tiga dekad dengan ribuan tentera ditempatkan di Lebanon.