Kisah Inspirasi Raja Ibrahim Menasihati Seorang Lelaki Daripada Bermaksiat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Suatu hari ada seorang lelaki bernama Abdullah telah datang untuk menemui Ibrahim bin Adham. Beliau berkata:

“Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.” Setelah mendengar perkataan tersebut, Ibrahim berkata: “Jika kamu mahu menerima syarat ini dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya: “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syaratnya, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.” Mendengar itu, dia menaikkkan kening dan berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya.” Tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar perintahnya.”

“Syarat yang seterusnya, kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!” Kata Ibrahim. Syarat ini membuatkan lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya:

“Wahai Abdullah, fikirkanlah apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?” “Ya. Anda benar.” Kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Syarat ketiga ialah kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata: “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin begitu, apakah kamu masih ingin melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang terakhir. “Baiklah, apa syarat yang terakhir?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah, kalau Malaikat Zabaniyyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya. Itulah syarat yang terakhir.”

Perkataan itu membuatkan lelaki tersebut insaf. Dia berkata: “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi mendengar kata-kata Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai dari hari ini, aku bertaubat.” Katanya sambil teresak-esak.

Ibrahim bin Adham atau nama sebenarnya Abu Ishak Ibrahim bin Adham yang telah dilahirkan di Balkh pada tahun 168 Hijriah atau 782 Masihi. Beliau merupakan seorang raja dan pemerintah di Balkh, iaitu sebuah daerah dan tempat perkembangan awal ajaran Budha.

Beliau juga diriwayatkan telah memilih untuk menjadi ahli sufi dan diangkat sebagai wali Allah setelah melepaskan jawatannya sebagai raja kepada penduduk Balkh.

Mafhum: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku. (Surah Ad-Dhariyat, 51:56)

Bagaimana kata-kata beliau berjaya memberikan nafas baru kepada setiap hati dan jiwa yang mendengar supaya sentiasa beringat bahawa hidup kita di muka bumi ini adalah untukNya dan bergantung kepadaNya.

Manusia tidak pernah lari dari melakukan kesilapan kerana fitrah kita ialah lupa dan tidak sempurna. Kita bukan seperti malaikat yang fitrahnya sentiasa taat dan patuh kepada Allah, malah kita juga bukan seperti Iblis yang memilih untuk ingkar akan arahanNya.

Disebabkan itu, Allah mengurniakan kita akal, sebuah ciptaan yang paling unik dan hebat untuk menjadikan siapa kita dan akan memandu kehidupan kita kepadaNya. Jika kita melakukan dosa itu bukti kita adalah manusia normal dan bertaubat itu salah satu bukti Allah ingin kita kembali kepadaNya.

Sumber: TZKRH.COM