Kisah Inspirasi Tentang Amalan Sederhana Yang Membawa Ke Syurga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Anda mungkin pernah mendengar kisah seorang pelacur yang masuk syurga kerana telah memberi minum seekor anjing yang hampir mati. Bukan itu sahaja, terdapat juga kisah orang yang tidak mempunyai banyak amalannya, namun beliau sentiasa berzikir kepada Allah. Oleh disebabkan itu, beliau dimasukkan ke syurga Allah.

Mungkin banyak lagi kisah inspirasi mengenai manusia yang diampuni dosanya oleh Allah hanya disebabkan perkara-perkara kecil yang dilakukan. Dapat dilihat, ada orang yang banyak amal, namun disebabkan dosanya dia telah dimasukkan ke dalam neraka. Nauzubillahi min dzalik.

Namun, ada pula orang yang banyak dosa, tetapi disebabkan oleh amalnya yang kecil, tuhan mengampuninya dan berjaya dimasukkan ke dalam syurga.

Mengapa itu semua boleh berlaku? Kerana semunya adalah bergantung kepada rahmat Allah. Di akhirat kelak, rahmat dari Allah adalah perkara yang paling kita inginkan kerana hanya Allah yang berkuasa melakukan sesuatu.

Malah, itu bukanlah bermaksud kita perlu mengambil ringan dan sambil lewa akan perihal ibadah, kerana rahmat Allah juga bergantung kepada ibadah dan niat yang kita lakukan.

Jadi, perkara apa yang perlu diperhatikan agar setiap amalan kita walaupun yang sekecil-kecil perkara boleh mengundang rahmat Allah?

1. Jaga Ibadah Yang Wajib

Ada sebuah kisah yang telah diriwayatkan dari Thalhah bin ‘Ubaidillah RA yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang beruban telah datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya beberapa soalan tentang Islam.

Baginda SAW menjawab “Islam itu adalah dengan mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.”

Lelaki tersebut kemudian bertanya lagi “Adakah ada kewajipan lain selain itu untuk aku?”

Rasulullah kemudian berkata “Tidak, kecuali engkau ingin menambah dengan perkara yang sunat. Islam juga adalah dengan mengerjakan puasa di bulan Ramadan.”

Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama dan Rasulullah menjawab “Tidak, kecuali jika engkau ingin menambah yang sunat.”

Lalu, lelaki itu pergi dan berkata “Demi Allah, aku tidak akan menambah dan juga mengurangi sedikit pun dari perkara itu (yang wajib).”

Rasulullah berkata “Beruntunglah orang tersebut jika ia jujur.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 11)

Melalui kisah di atas, kita dapat faham bahawa perkara utama yang perlu diperhatikan adalah tentang amalan wajib, iaitu solat.

Solat merupakan salah satu perkara yang boleh membantu diri kita untuk lebih dekat dengan Allah. Walaupun kita kurang dalam ibadah sunat lain, namun yang paling penting adalah menjaga ibadah wajib.

2. Tiada Rasa Dendam & Hasad Dengki

Anas bin Malik bercerita ketika beliau dan sahabat lain sedang duduk bersama Baginda SAW. Dan Rasulullah berkata “Akan datang kepada kalian sekarang salah seorang penduduk syurga.”

Kemudian, datanglah seorang lelaki dari kaum Ansar, janggutnya masih dibasahi air wuduk. Kemudian, keesokan hari juga berlaku perkara yag sama sehingga beberapa hari selepasnya.

‘Abdullah bin Amr berasa hairan dan ingin tahu mengapa lelaki tersebut disebut sebagai ahli syurga. Kemudian, beliau membuat keputusan untuk melihat amalan lelaki itu dengan menginap di rumahnya.

Sepanjang malam, ‘Abdullah langsung tidak melihat lelaki tersebut mengerjakan solat malam. Beliau hanya berzikir kepada Allah kemudian tidur. Lalu, apabila masuknya waktu Subuh, beliau bangkit dan menunaikan Subuh. Lelaki tersebut juga tidak pernah berbicara melainkan hal-hal kebaikan. Itulah yang berlaku sepanjang tiga malam ‘Abdullah berada di rumah lelaki tersebut.

‘Abdullah berkata “Tatkala aku ingin pulang, lelaki itu memanggilku dan beliau berkata bahawa amalannya hanya seperti yang dilihat. Beliau tidak mempunyai perasaan benci mahupun dendam di dalam hati kepada orang lain dan beliau tidak pernah cemburu ke atas amalan orang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3:166. Dinukilkan sahih oleh Syeikh Al-Arnauth)

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa hati yang bersih boleh membantu mengajar kita menjadi muslim yang baik dan menjalani kehidupan dengan tenang tanpa ada perasaan dendam dan hasad dengki.

Walaupun amalan tersebut hanya dengan melazimi zikir dan menjaga ibadah wajib, namun beliau tidak pernah cemburu atau hasad terhadap kebaikan orang lain yang lagi hebat darinya kerana beliau tahu bahawa yang paling penting adalah keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.

Tuntasnya, setiap amalan yang kita lakukan perlulah menjaga niat dan hati serta jangan mudah leka untuk urusan dunia kerana cemburu dengan amalan orang lain. Oleh itu, jagalah solat fardu agar ia boleh menjadi tali penghubung untuk kita semua dan juga Allah.

Sumber: TZKRH.COM