Kisah Khalifah Harun Al-Rashid Ditegur Oleh Ahli Ibadah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Terdapat sebuah kisah yang masyhur dan sering disebut mengenai seorang lelaki (dari kalangan ahli ibadah) yang menegur kepimpinan Khalifah Harun Al-Rashid semasa zaman pemerintahannya.

Teguran itu dilakukan secara kasar sehinggakan Khalifah Harun bertanya kepadanya mengapa ia dilakukan hal sedemikian.

Kisah ini diceritakan berlaku daripada seorang nussak (ahli ibadah) yang membantah dan menegur Khalifah Harun Al-Rashid dengan teguran supaya bertakwa kepada Allah.

Namun, lelaki tersebut menggunakan bahasa yang sangat kasar serta gayanya yang tidak berhemah menyebabkan telinga yang mendengarnya kurang senang dengan perkara tersebut.

Khalifah Harun Al-Rashid berkata “Wahai si fulan, bersederhanalah kamu dalam berbicara dan meminta kepadaku.”

Lalu, lelaki tersebut menjawab “Yang demikian itu adalah serendah-rendah cara yang wajib kepada kamu.”

Maka, Khalifah itu bertanya lagi “Adakah aku ini jahat dan lebih keji berbanding Firaun.”

Lelaki itu pun berkata “Bahkan Firaun itu lebih keji dan jahat kerana dia berkata: “Aku adalah tuhan kamu yang maha tinggi.”

Khalifah bertanya lagi “Kamu benar. Beritahulah kepadaku, siapa di antara kamu dan Musa bin ‘Imran yang lebih baik?”

Jawab lelaki itu “Musa bin ‘Imran merupakan kalimullah. Allah menciptakannya untuk diriNya dan memilihnya untuk diberikan wahyuNya.”

Khalifah Al-Rashid berkata “Kamu benar. Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah SWT apabila mengutuskan Musa dan saudaranya (Harun) kepada Firaun. Dia berkata kepada keduanya: “Maka, hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan ucapan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut.”

Khalifah menyambung lagi “(Arahan untuk berkata dengan lemah lembut) ini dalam keadaan kesombongan dan kebongkakan diri Firaun itu sebagaimana yang kamu ketahui. Sedangkan aku berada dalam keadaan yang kamu sendiri ketahui, aku melaksanakan kebanyakan perkara yang Allah fardukan ke atas diriku dan aku tidak mengabdikan diri kepada selainNya. Aku juga berhenti pada sebesar-besar hududNya (tidak melanggar batasan Allah), mengikut perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Walau bagaimanapun, kamu menegur aku dengan lafaz yang paling keras, kasar serta cara yang paling buruk. Maka, tidakkah dengan adab Allah kamu sepatutnya beradab? Tidakkah dengan akhlak para solihin kamu patut mengambilnya sebagai ikutan?”

Maka, lelaki itu pun berkata “Aku telah tersalah wahai Amirul Mukminin dan aku memohon maaf kepadamu.”

Khalifah itu menjawab “Semoga Allah mengampuni kamu.” (At-Tabari, Ibn Jarir, 8/358)

Kesimpulannya, dapat disimpulkan bahawa ia adalah bukti bahawa dakwah tersebut perlu dilakukan dengan cara yang terbaik kepada siapa yang ingin disampaikan. Walaupun anda adalah seorang rakyat, anda boleh menegur pemimpin, tetapi teguran itu perlu dilakukan dengan cara yang baik.

Sumber: MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN