Terdapat satu peristiwa takjub iaitu Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Pada satu hari, Nabi Sulaiman meminta semua bala tenteranya beratur di dalam posisi masing-masing untuk memeriksa tentera-tenteranya.
Baginda mendapati seekor burung hud hud tidak berada pada posisi yang telah ditetapkan hingga menyebabkan Nabi Sulaiman hendak menghukumnya jika tidak memberi alasan yang munasabah.
Tugas Burung Hud Hud
Tugas burung hud hud adalah seperti mana yang telah diterangkan oleh Ibnu Abbas dimana dia menjadi peninjau yang akan meninjau sesuatu kawasan itu mempunyai air ataupun tidak.
Oleh itu, jika pasukan tentera nabi mempunyai masalah kekurangan air ataupun hendak pergi ke suatu tempat, maka burung tersebut dapat memberi tahu lokasi punca air yang boleh digunakan oleh pasukan tentera Nabi Sulaiman AS.
Ketika Nabi Sulaiman tidak menjumpai burung tersebut, ancaman diberikan kepada burung itu kerana posisinya yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sesuatu misi. Kecuali jika dia dapat memberi satu alasan yang boleh diterima oleh Nabi Sulaiman AS.
Negeri Saba’, Ratu Balqis Dan Rakyatnya Yang Menyembah Matahari
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba suatu berita penting yang diyakini”. (An-Naml: 22)
Pada ketika itu, hadirlah Hud hud dengan mengemukakan alasannya bahawa sebelum itu dia sedang pergi ke satu negeri bernama Saba’ iaitu berdekatan dengan Yaman. Di dalamnya ada seorang wanita yang memerintah negeri tersebut.
Hud-hud juga menjelaskan bahawa raja perempuan berserta kaumnya itu sujud menyembah matahari.
Puteri yang memerintah negeri tersebut adalah Puteri Balqis dan At Tsa’lani meriwayatkan dari Nabi SAW beliau bersabda: “Salah satu orang tua Balqis adalah bangsa jin.”
Tetapi hadith ini adalah hadith gharib dan sanadnya dhaif.
Surat Kepada Ratu Balqis
Disebabkan berita itu, Nabi Sulaiman telah menyuruh burung hud hud untuk menghantar surat kepada Ratu tersebut. Ketika sampai di istananya, burung hud hud mencampakkan surat itu dan dibaca oleh Ratu balqis.
Kandungan dalam surat itu tertulis seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahwa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.(An-Naml: 31-32)
Di dalam surat tersebut, Nabi Sulaiman ingin Puteri Balqis memasuki agama islam dan menyembah Allah SWT seperti dalam permulaan surat tersebut yang membesarkan nama Allah.
Maka bermesyuaratlah Puteri Balqis berserta dengan pembesarnya. Ada pembesar yang memberi cadangan untuk terus pergi berperang dengan tentera Nabi Sulaiman.
Tetapi Puteri Balqis merasakan lawan yang ingin dihadapinya ini adalah seorang yang berbeza. Lalu Puteri Balqis cuba menggunakan helah dengan memberikan harta dan juga perhiasan kepada Nabi Sulaiman AS.
Tatkala sampai utusan puteri Balqis ke istana Nabi Sulaiman, dia terus menolak pemberian tersebut dan berkata kepada utusan tersebut yang mereka akan membawa satu bala tentera yang akan menguasai kerajaan Saba’ tersebut.
Tatkala hal tersebut sampai ke Puteri Balqis, maka mereka tidak memiliki pilihan lain kecuali tunduk dan patuh kepada kehendak Nabi Sulaiman.
Kisah Singgahsana Ratu Balqis Yang Dibawa Ke Negeri Nabi Sulaiman
Ketika mana mereka telah menyerah diri kepada Nabi Sulaiman, maka Ratu Balqis pun bertolak ke negeri Nabi Sulaiman untuk menghadap pemerintahnya.
Nabi Sulaiman bertanyakan kepada pegawai-pegawainya bolehkah mereka membawa singgahsana Puteri Balqis ke tempat Nabi Sulaiman.
Maka, berkatalah Ifrit dari golongan jin yang dia boleh membawa singgahsana tersebut sebelum Nabi Sulaiman berdiri dari tempat duduknya.
Terdapat beberapa tafsiran berkenaan hal ini. Ada yang mengatakan ifrit mampu membawa singgahsana tersebut sebelum habis majlis pertemuan tersebut dan ada juga yang mengatakan waktunya adalah pagi hari sampai mendekati tergelincirnya matahari.
Kemudian berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab Allah iaitu seperti dalam firman Allah yang bermaksud:
“Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.”(An-Naml: 40)
Dalam masa sekejap sahaja, singgahsana Puteri Balqis dibawa kepada Nabi Sulaiman sedangkan ia terletak sangatlah jauh iaitu dari negeri Yaman.
Ketika Puteri Balqis sampai ke istana Nabi Sulaiman, baginda bertanya kepadanya adakah ini seperti singgahsananya di Yaman. Maka, Balqis pun menjawab boleh jadi ia adalah singgahsananya kerana dia sudah mengetahui kekuasaan dan kebolehan yang dimiliki oleh kerajaan Nabi AS.
Kemudian Nabi Sulaiman AS mempersilakan Balqis untuk memasuki istana yang dibinanya dari kaca. Ketika mana Balqis memasuki istana tersebut disangkanya bahwa halaman istana itu adalah sebuah kolam air dan dia pun menyingsingkan pakaiannya hingga ke betis.
Maka Nabi AS pun menjelaskan bahawa istanannya itu dibina oleh kaca yang membuatkan ia licin berkilat seperti air.
Melihat kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabinya, maka Balqis pun berdoa seperti dalam firman tuhannya yang bermaksud:
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam”.(An-Naml-44)
Apabila kita diberi sesuatu kelebihan, kita perlulah sentiasa bersyukur dan berserah diri kepada Allah SWT.
Begitu jugalah kita apabila diberi kelebihan ke atas segala perkara, perlulah kita bersyukur dan berserah diri kepada tuhan yang masa Esa.
Sumber: AKU MUSLIM