Kisah Rasulullah Pernah Disihir Dan Sebab Turun Surah Al-Falaq

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sepertimana kita tahu setiap orang pasti sudah sebati dengan surah tiga Qul. Malah, ia dikenali dengan empat Qul iaitu surah Al-Kafirun, surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan juga An-Nas.

Ia digelar sebagai empat Qul kerana permulaan surah ini dimulai dengan kalimah Qul. Dalam keempat-empat surah ini, ada 2 surah yang diturunkan secara serentak, iaitu surah Al-Falaq dan juga An-Nas yang merupakan dua surah terakhir dalam Al-Quran.

Apa yang menarik mengenai surah ini adalah ia diturunkan ketika peristiwa Rasulullah SAW yang telah disihir oleh seorang lelaki Yahudi, iaitu Labid bin Al-A’sham.

Penangan sihir itu cukup hebat sehingga membuatkan Baginda SAW merasa was-was terutamanya dalam melakukan ibadah. Baginda membayangkan ada sesuatu yang dilakukan ketika baginda melakukan sesuatu, namun rupanya ia belum lagi dilakukan.

Perkara itu telah merisaukan para sahabat dan isteri-isterinya. Namun, Baginda SAW tetap kuat melawannya dengan meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah sehinggalah Allah mendatangkan Jibril AS untuk meruqyah (merawat) Baginda SAW.

Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata: “Jibril AS pernah mendatangi Nabi SAW dan berkata: “Wahai Muhammad, adakah engkau sakit?” Kemudian, Nabi SAW menjawab “Benar.” Lalu, Jibril berkata:

Maksud: “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dan dari keburukan penyakit ‘ain yang timbul dari pandangan mata orang yang dengki. Semoga Allah menyembuhkanmu. Dengan nama Allah, aku meruqyahmu.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2186)

Pelajaran Dari Surah Ini

Melalui surah ini, kita dapat mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah disihir akibat rasa tidak puas hati oleh kaum Yahudi terhadapnya.

Imam Jalaluddin al-Mahali menyebut bahawa sihir yang dihantar kepada Baginda adalah diikat melalui tali busur dengan 11 ikatan. Lalu, Allah memberi petunjuk mengenai sihir tersebut dengan diturunkan ayat ini sebagai bacaan perlindungan.

Diriwayatkan juga ketika Nabi SAW membaca dua surah ini, iaitu surah Al-Falaq dan An-Nas, maka ikatan dari busur tersebut terlepas dan badan Baginda terasa ringan dari pengaruh sihir tersebut sehingga terlepaslah semua ikatan yang ada. (Tafsir Al-Jalalain, No. 615)

Kedua-dua surah ini juga diajarkan kepada kita untuk dibaca sebagai langkah melindungi diri daripada sihir serta penyakit was-was. Sebab itu, setiap kali sebelum menunaikan solat, kita boleh mengamalkan surah ini agar terhindar dari rasa tidak khusyuk. Bahkan, ia juga digunakan dalam rawatan rukyah bagi membantu membebaskan diri dari pengaruh sihir.

Ibnu Qayyim ada menyebut bahawa: “Mengenai sirah Baginda SAW yang terkena sihir, ia bukanlah aib kepada kemaksuman Baginda. Hal ini kerana, sihir merupakan sebuah penyakit, iaitu penyakit ‘ain dan ia boleh tertimpa kepada sesiapa bahkan juga Rasulullah. Nabi SAW menderita sakit ini sebagaimana Baginda menderita penyakit lain.” (Zaad Al-Ma’ad, 4:113-114)

Tuntasnya, hasad dengki, sihir dan penyakit ‘ain adalah perkara yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita, bahkan dari zaman para nabi lagi diriwayatkan telah berlaku perkara ini. Iblis merupakan makhluk pertama yang dirudung permasalahan hasad dengki sehingga menyebabkan beliau sombong.

Dapat kita lihat kesannya sehingga boleh memberi kesan buruk kepada orang lain. Sebagai manusia yang beriman, kita tidak boleh mengelak dari perbuatan sihir itu, namun kita boleh mencegah dengan sentiasa mengamalkan ayat pelindung agar bebas dari penyakit ‘ain ini iaitu denga mengamalkan bacaan empat Qul.

Sumber: TZKRH.COM