Umair Bin Saad ra pernah dididik oleh Rasulullah SAW sehingga Saidina Umar al-Khattab pernah mengatakan “Betapa aku amat berharap mempunyai lelaki-lelaki seperti Umair bin Saad menjadi pembantuku dalam urusan kaum muslimin”.
Kisah Saidina Umair bin Saad diceritakan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah.
Penduduk Hims di Syam selalu mengadu perihal pemimpin mereka. Tidak ada seorang gabenor yang diutuskan kepada mereka kecuali mereka mendapati pada diri gabenor tersebut, banyak aib sehingga mereka menghitung dosa kesalahannya dan melaporkannya kepada khalifah.
Mereka berharap agar khalifah berkenan menggantikan gabenor itu dengan orang yang lebih baik daripadanya.
Ketika itu, Saidina Umar al-Khattab berazam untuk mengutuskan kepada orang-orang Hims, seorang gabenor yang tiada cacat cela dan memiliki nilai kendiri yang baik di mata mereka sehingga tidak ada lagi aduan berkenaan dengan gabenor-gabenor yang diutuskan.
Maka Umar memilih para pembantunya dan menguji seorang demi seorang, namun beliau tidak menemui calon yang lebih baik berbanding Umair bin Saad r.a.
Umair ketika itu berada di Semenanjung Syam. Beliau mengetuai angkatannya berjuang di jalan Allah SWT. Beliau membebaskan banyak kota serta meruntuhkan banyak kubu. Beliau juga berjaya menundukkan banyak kabilah dan mendirikan banyak masjid di setiap daerah-daerah yang dilaluinya.
Namun, Amirul Mukminin tetap memanggilnya dan melantiknya menjadi gabenor Hims dan memerintahkan beliau berangkat ke sana. Umair pun menuruti perintah Amirul Mukminin sekalipun hatinya tidak senang kerana tidak ada yang lebih beliau sukai dalam hidupnya melainkan berjihad dan berjuang di jalan Allah SWT
Setibanya di Kota Madinah, Umair menerima watikah perlantikan yang mana beliau ditugaskan untuk memimpin masyarakat Hims di Syam. Maka, beliau pun berangkat ke Syam untuk melaksanakan tugasan yang telah diberikan. Beliau juga telah diingatkan bagaimana keadaan masyarakat Hims.
Setibanya beliau di Hims, beliau menyeru orang ramai untuk melaksanakan solat jemaah. Selesai solat, maka beliau berucap di hadapan mereka. Dimulakan dengan memuji Allah SWT dan berselawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW.
Lalu beliau berpesan “Wahai sekalian manusia. Islam adalah benteng yang kukuh dan gerbang yang kuat. Benteng Islam adalah keadilan dan gerbangya adalah kebenaran. Jika benteng telah dihancurkan dan gerbang telah dirobohkan, maka perlindungan agama ini tidak ada lagi.
Islam akan sentiasa melindungi selagi kekuasaan tegak berdiri. Tegaknya kekuasaan bukanlah dengan sebatan cemeti dan libasan pedang, akan tetapi dengan keadilan dan kebenaran.”
Beliau kemudian terus beredar meneruskan tugasnya, melaksanakan dasar yang telah digariskan dalam ucapannya yang singkat itu. Umair menjalankan tugasnya di Hims selama setahun. Namun tidak ada surat yang diutuskan kepada Amirul Mukminin.
Saidina Umar juga berasa hairan. Tidak ada dirham atau dinar daripada harta cukai yang dihantar ke baitulmal kaum Muslimin. Lebih menghairankan Saidina Umar, kutipan cukai juga tidak pernah sampai ke Kota Madinah.
Perkara itu menimbulkan rasa syak kepada Saidina Umar kerana beliau amat bimbang akan fitnah kekuasaan terhadap para gabenornya.
Saidina Umar kemudian memerintahkan pembantunya mengirimkan surat kepada Umair bin Saad. Umar berkata “Katakan kepadanya jika surat Amirul Mukminin telah sampai kepadamu, maka tinggalkan Hims dan datanglah kepadaku. Bawalah seluruh harta cukai kaum Muslimin yang telah engkau kumpulkan selama ini.”
Saidina Umair kemudian bergegas menyusuri jalan menuju ke Kota Madinah dengan berjalan kaki tanpa membawa sebarang harta. Tatkala tiba di Kota Madinah, kelihatan dirinya sangat keletihan akibat perjalanan tersebut. Umair datang menghadap Amirul Mukminin.
Keadaan Umair membuatkan Saidina Umar sangat terkejut dan bertanya mengapa keadaannya begitu. Umair menjawab “tidak ada apa yang terjadi pada diriku. Aku sihat, Alhamdulillah. Aku membawa kesemua dunia bersamaku yang aku seret dari kedua tanduknya.”
Saidina Umar kemudian bertanya “Apa yang engkau bawa dari dunia?” Umair menjawab “aku membawa karung bekalku yang aku simpan padanya bekal perjalananku. Aku juga membawa sebuah talam besar, tempat aku makan dan menyuci bajuku.
Aku juga membawa satu bekas air untuk wudhuk dan minum. Lalu seluruh dunia berada di belakang barang-barangku ini. Ini sahaja yang aku miliki dalam kehidupanku. Aku tidak memerlukan hal yang lebih selain daripada ini. Tiada lagi yang aku miliki selain daripada barang-barang ini.”
Saidina Umar kemudian bertanya “apakah engkau datang dengan berjalan kaki wahai Umair?” Beliau menjawab “benar wahai Amirul Mukminin.”Umar kemudian bertanya “Bukankah sebagai pemimpin engkau telah diberikan haiwan tunggangan?”
Umair lantas menjawab “penduduk Hims, mereka belum memberikan kepadaku walau seekor haiwan tunggangan pun dan aku pun tidak pernah meminta kepada mereka.” Khalifah bertanya lagi “Di manakah harta baitulmal yang engkau simpan?” beliau mengatakan tidak membawa apa-apa.
Tanya Khalifah kehairanan. Umair kemudian menjawab “tatkala aku sampai di Hims, aku telah mengumpulkan para penduduk yang soleh. Aku melantik mereka sebagai pengumpul-pengumpul harta baitulmal daripada penduduk-penduduk.
Setiap kali mereka mengumpulkan harta tersebut, aku bermesyuarat dengan mereka tentang penggunaan harta itu dan aku tempatkannnya pada tempatnya. Aku infakkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya.” Umar lalu berkata kepada pembantunya “Perbaharuilah perjanjian lantikan Umair agar bliau menjadi gabenor di Hims.”
Saidina Umair kemudian menjawab “Tidak sekali-kali wahai Amirul Mukminin. Itulah perkara yang tidak aku inginkan. Aku tidak akan bekerja untukmu dan tidak untuk orang setelahmu selama-lamanya.”
Lalu Umair meminta izin untuk pergi ke suatu kampung di Madinah di mana keluarganya berada di situ. Maka Umar pun mengizinkannya.
Begitu hebat contoh suri teladan yang dididik dan diasuh oleh Baginda Nabi SAW sehingga sahabat ini menjadi orang yang sangat amanah dan dunianya hanya di genggaman dan tidak disimpan di hati.
Sumber: IKIM FM