Kisah Utusan Rom Memeluk Islam Kerana Zuhudnya Saidina Umar RA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa seorang utusan dari Rom telah tiba di Madinah untuk bertemu dengan khalifah Saidina Umar al-Khattab RA. Tujuannya untuk bertemu dengan Amirul Mukminin bagi menyampaikan sesuatu daripada rajanya.

Setiba di Madinah, dia segera mencari di manakah istana khalifah. Dalam fikirannya sudah tentu istana Umar RA begitu megah, besar dan dijaga pula oleh pengawal yang ramai, sesuai dengan kehebatan umat Islam pada waktu itu.

Dia bertanya kepada penduduk Madinah di manakah kediaman Amirul Mukminin apabila tidak menemuinya. Menurut penduduk Madinah, kedudukan rumah Umar al-Khattab RA terletak di satu kawasan berhampiran padang pasir.

Ketika sampai di tempat yang dimaksudkan, dia melihat sebuah rumah kecil. Di halaman rumah kelihatan seorang lelaki sedang tidur di bawah sepohon tamar dengan tongkatnya digunakan sebagai alas kepala. Setelah diamati, tahulah dia lelaki yang tidur itu adalah Saidina Umar al-Khattab RA yang dicari-carinya.

Utusan Rom berasa hairan dan terpegun seketika. Benarkah ini pemerintah Islam yang sangat digeruni oleh Timur dan Barat? Tidak langsung kelihatan pengawal peribadi di sekeliling lelaki itu, bahkan keadaannya cukup zuhud tidak sebagaimana pemerintah yang lain.

Ketika itu juga terfikir di benaknya, inilah saat yang paling sesuai baginya menunjukkan ketaatan dan berjasa kepada rajanya dengan membunuh Saidina Umar RA yang sedang bersendirian. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Saidina Umar RA dengan pedang terhunus di tangan, bersedia untuk menetak Amirul Mukminin.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena, muncul dua ekor singa yang datang entah daripada mana cuba menerkamnya.

Spontan itu juga si utusan Rom menjerit ketakutan sehingga pedang yang terhunus di tangannya jatuh dan menyebabkan Saidina Umar RA yang sedang nyenyak tidur terjaga. Sekelip mata itu juga singa yang begitu besar dan ganas itu hilang serta merta daripada pandangan si utusan Rom.

Si utusan berasa menggigil tatkala melihat Saidina Umar RA terjaga daripada tidur kerana menyangka sudah pasti Saidina Umar RA akan murka.

Lalu dengan segera dia menyatakan tujuannya dan menceritakan segala peristiwa yang berlaku padanya sebentar tadi kepada Saidina Umar RA. Dengan takdir Allah, akhirnya  si utusan Rom memeluk Islam setelah takjub dengan peristiwa yang dialaminya sebentar tadi.

Sumber: UTUSAN TV