Kisah Warak Abu Bakar As-Siddiq Untuk Diteladani

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Siapa yang tidak kenal dengan nama Abu Bakar As-Siddiq, beliau merupakan seorang tokoh dan sahabat yang sangat terkenal dengan keperibadiannya yang sentiasa unggul.

Beliau juga merupakan antara sahabat terawal yang masuk Islam serta sentiasa mempercayai dan membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keimanannya terhadap Islam sangat kukuh dan kuat menjadikan beliau antara sahabat yang paling disegani dan dihormati.

Maksud: “Seandainya keimanan Abu Bakar RA ditimbang (dibandingkan) dengan keimanan penduduk bumi (selain para nabi dan rasul), maka sesungguhnya keimanan beliau lebih berat dibandingkan dengan keimanan penduduk bumi.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawi, 18/378)

Antara peribadi beliau yang sangat dihormati dan sesuai dijadikan teladan ialah tingginya sifat warak dan ketakwaan beliau kepada Allah SWT. Ada sebuah kisah yang diceritakan mengenai bagaimana beliau sangat menitikberatkan perkara halal dan haram terhadap apa yang dimakannya.

Ia diriwayatkan dari ‘Aisyah RA, bahawa ayahnya, Abu Bakar mempunyai seorang budak yang akan membayar harta atau makanan kepada beliau setiap hari. Pada suatu hari, budak tersebut telah membawa makanan, kemudian Abu Bakar memakannya, Budak tersebut bertanya kepada Abu Bakar:

“Adakah engkau mengetahui apa yang engkau makan ini?”

Abu Bakar kemudian bertanya kepadanya: “Dari mana kamu mendapatkan makanan ini?”

Budak itu pun menceritakan: “Dulu, sewaktu di zaman jahiliyah, aku pernah melakukan amalan menilik nasib padahal aku tidak mahir dalam bidang tersebut. Kemudian, ada seorang lelaki yang datang kepadaku dan aku telah menipu beliau. Hari ini, aku menjumpainya kembali dan orang tersebut memberiku hadiah (makanan). Dan ia adalah apa yang anda sedang makan itu.”

Setelah mendengar cerita tersebut, Abu Bakar kemudian memasukkan jarinya ke dalam mulut dan berusaha memuntahkan kembali apa yang dimakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 3629)

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa ketakwaan Abu Bakar As-Siddiq adalah termasuk dengan berhati-hati terhadap apa yang dimakannya serta amat menitikberatkan perkara halal dan haram.

Maksud: “Barangsiapa yang menjaga diri dari hal-hal yang samar (belum jelas status halal dan haramnya), maka sungguh dia telah menjaga kesucian agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjerumus ke dalam hal-hal yang samar tersebut, maka ia bermakna dia telah terjerumus ke dalam perkara yang haram (dilarang dalam Islam).” (Hadis Riwayat Muslim, No. 1599)

Sikap warak ini bukan sahaja terhadap ibadah atau peribadi yang dilakukan, namun meliputi semua aspek. Ia adalah antara perkara yang akan memberi kesan kepada diri kita sendiri. 

Jika apa yang kita makan itu halal dan baik, maka daging yang tumbuh dalam diri kita juga adalah yang baik dan akan memberi kesan kepada perbuatan kita. Namun, jika apa yang kita makan itu adalah dari yang syubhah (was-was) atau haram, maka begitulah juga sebaliknya. Oleh disebabkan itu, kita sentiasa dipesan untuk sentiasa menitikberatkan sumber yang akan masuk ke dalam tubuh badan kita.

Sumber: TZKRH.COM