KKDW Lulus RM200 Juta Tambah Baik Jalan Penempatan Orang Asli – Ahmad Zahid

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek menambah baik jalan di beberapa kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia melibatkan kawasan Kuala Betis-Pos Balar dan Pos Belatim-Kuala Betis-Pos Bihai, masing-masing di Gua Musang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jumlah peruntukan itu adalah peruntukan sedia ada yang telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga tidak berhajat untuk meminta tambahan peruntukan namun sekiranya ia tidak mencukupi, saya sendiri akan menghadap Perdana Menteri untuk tambah.

“Bukan untuk saya tetapi untuk kebajikan Orang Asli terutamanya dalam hal perhubungan desa ini,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2, di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merasmikan program berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata KKDW bersama pelbagai agensi di bawahnya komited untuk memastikan bantuan bagi pembangunan kumpulan sasar terutamanya Orang Asli akan tercapai.

Dalam masa sama, beliau juga meminta supaya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melaksanakan perubahan dan projek pembangunan kawasan luar bandar dengan adanya pengerusi yang baharu.

“Pengerusi Kesedar yang baharu Cikgu Awi (Datuk Zawawi Othman), saya pasti beliau melakukan libat urus dengan pengurus besarnya, pengarah dan kakitangan Kesedar.

“Saya yakin Cikgu Awi orang yang bersemangat dan saya lihat dalam tempoh hanya tiga bulan ini beliau telah melakukan banyak perubahan di Kesedar ini,” katanya.

— BERNAMA