KKDW Tumpu Tingkat Prasarana, Ekonomi Rakyat Luar Bandar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan prasarana dan ekonomi luar bandar yang berdaya saing serta menepati momentum kemajuan negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ramlan Harun berkata, peruntukan berjumlah RM11.55 bilion kepada kementerian terbabit dalam Belanjawan 2024 adalah menyeluruh yang menepati keperluan pembangunan untuk dilaksanakan pada tahun depan.

Menurutnya, peruntukan kepada KKDW meningkat 4.7 peratus berbanding tahun lalu sekali gus memperlihatkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyediakan pelbagai keperluan yang setanding kawasan bandar.

“Daripada jumlah itu, RM7 bilion dikhususkan bagi pembangunan luar bandar seperti kemudahan, air, elektrik, pencapaian jalur lebar, pembaikan dan pembinaan jalan raya.

“Kita juga menerima peruntukan yang signifikan dalam pembinaan rumah baru dan baikpulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian penutupan Jom Masuk Kampung di Kampung Gintong di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu menjadi platform strategik di antara pihak kerajaan bersama komuniti luar bandar dalam memperjelaskan strategi, tindakan dan perancangan dalam membangunkan kampung serta komuniti luar bandar.

Ramlan berkata, peruntukan besar menerusi Belanjawan 2024 dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa termasuk di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

Menurutnya, elemen baharu pembangunan menyediakan peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi memberi peluang kepada pengurusan kampung merangka sendiri hala tuju pembangunan akan datang.

“Peruntukan ini berupaya menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti mana digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya.

Tambah beliau, kemajuan desa menjadi tarikan kepada anak muda untuk berada di kampung sekali gus dapat menjana pendapatan kerana ada sumber ekonomi untuk dijana.

Justeru ujarnya, pembangunan kampung tradisional secara terancang dan bersepadu dapat membangunkan tanah yang ditinggalkan generasi dahulu dengan tanaman komersial. – UTUSAN