KKM Baik Pulih 42 Klinik Kesihatan di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan projek membaik pulih 42 Klinik Kesihatan (KK) diklasifikasi sebagai daif di seluruh Pahang, membabitkan peruntukan RM12.901 juta.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sudah mempunyai senarai klinik kesihatan daif di Pahang dan akan menerima peruntukan itu, dengan pelaksanaan dalam tahun ini juga.

“Proses perolehan sudah selesai dan kita sedang menunggu proses seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Klinik Kesihatan Bukit Goh di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Kunjungan ke fasiliti itu adalah sebahagian daripada pengisian lawatan kerja dua hari Dr Zaliha ke Pahang, bermula hari ini.

Antara lain, ia bertujuan meninjau fasiliti kesihatan yang perlu ditambah baik bagi menampung keperluan semakin meningkat.

– BERITA HARIAN