KKM Cadang Lanjut Khidmat Pakar Perubatan Pencen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menawarkan kontrak sehingga lima tahun kepada pakar perubatan yang sudah bersara berumur 60 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata cadangan itu bagi memastikan kepakaran yang ada dapat diberikan kepada pegawai perubatan sedia ada dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

“Semalam, kita ada mesyuarat dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) yang mana mereka adakan kursus atau latihan kepakaran dan mereka juga tak cukup tenaga pengajar.

“Jadi, kalau kita boleh guna pakai idea ini dan ketengahkan, mungkin akan membantu untuk kita tingkatkan tenaga pengajar kepakaran di universiti tempatan.

“Pada masa sama, KKM juga boleh meningkatkan perkhidmatan kepakaran kepada rakyat Malaysia.

“Ini satu cadangan tetapi kita harap dapat dipertimbangkan supaya mereka (yang sudah pencen) dapat diberikan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan dan hospital kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, pakar perubatan yang sudah bersara tidak ditawarkan kontrak tetapi datang ke hospital kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan secara ‘sessional’ iaitu berkhidmat untuk tempoh 10 jam seminggu.

“Apa yang penting ialah cara ‘sessional’ atau pun perkhidmatan 10 jam seminggu telah pun kita jalankan daripada dahulu lagi.

“Tetapi ada baiknya kalau kita boleh berikan mereka kontrak untuk tempoh lima tahun dan ini dalam perbincangan.

“Jadi persetujuan 2 kementerian iaitu KKM dan KPT, tetapi kita kena dapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, terdapat lebih 6,000 doktor pakar di hospital di seluruh negara dengan 150 hingga 200 orang bersara pada setiap tahun.

Katanya, terdapat 150 hospital di seluruh negara dengan 60 daripadanya mempunyai doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM